PUTRAJAYA, 9 April (Bernama) -- Rakyat Malaysia diseru agar mengamalkan prinsip tabayyun dan memastikan kesahihan maklumat sebelum menyebarkan sebarang berita berkaitan krisis tenaga global, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Beliau mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan berita tidak sahih yang boleh menimbulkan panik dan kekeliruan.
“Isu krisis tenaga global ni bukan benda kecil. Ia kompleks… ia benar-benar berlaku dan ia memerlukan kita semua jadi lebih matang dalam hadapinya," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.
Zulkifli berkata rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana negara masih berada dalam keadaan stabil walaupun dunia kini bergelut dengan konflik di Asia Barat.
Beliau berkata ia adalah hasil pengurusan kesan konflik yang baik oleh kerajaan, yang turut diiiktiraf JP Morgan dan Milken Institute.
"Dalam suasana dunia sedang bergelut, kita masih cukup bekalan… ayam, telur, beras, minyak masak, tepung dan lain-lain. Malah sekarang ada lambakan sayur di pasaran. Raya pun meriah, rumah terbuka penuh, jalan tetap sesak. Ini realiti kita hari ini.
"Petrol, diesel, gas masih ada, Alhamdulillah. Subsidi? Kerajaan MADANI masih tanggung besar-besaran, berbilion ringgit, supaya rakyat tak terbeban, dan kebajikan kita semua terpelihara," katanya.
Dalam pada itu Zulkifli turut menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup bersederhana, berjimat cermat, dan menggunakan tenaga secara bijak.
"Akhirnya, negara kuat bukan sebab kerajaan sahaja, tapi sebab rakyatnya bijak, tenang, bersatu hati, rasional dan bertanggungjawab.
"Semoga kita semua terus bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat dan bijak dalam mengurus sumber, demi kesejahteraan bersama, Insya-Allah," katanya.
-- BERNAMA
