KOTA BHARU, 8 April (Bernama) -- Lebih 1,000 pelajar Kelantan yang sedang mengikuti pengajian di Asia Barat berada dalam keadaan selamat dan masih meneruskan pembelajaran seperti biasa walaupun berdepan situasi konflik di rantau itu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata kerajaan negeri sentiasa berhubung dengan pihak kedutaan bagi memastikan semua pelajar berada dalam keadaan selamat.
“Kita juga menasihatkan mereka supaya sentiasa mengikuti dan mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak kedutaan.
“Lebih 200 pelajar Kelantan sedang menuntut di Jordan manakala lebih 800 lagi di Mesir. Setakat ini, kelas berjalan seperti biasa dan semua pelajar mematuhi arahan yang dikeluarkan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.
Beliau berkata ibu bapa pelajar turut disaran agar sentiasa berhubung dengan pihak kedutaan serta pegawai kebajikan yang bertugas bagi mendapatkan perkembangan terkini anak masing-masing.
Wan Roslan berkata setakat ini kerajaan negeri belum merancang untuk membawa pulang pelajar memandangkan keadaan masih terkawal.
“Harapan kita agar krisis dan konflik ini dapat segera berakhir supaya pelajar dapat meneruskan pengajian dengan baik,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata permohonan bagi Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 akan dibuka bermula 9 hingga 19 April ini dan pelajar yang layak boleh mendapatkan borang permohonan di pejabat Yayasan Islam Kelantan atau melalui laman sesawang rasmi yayasan berkenaan.
“Inisiatif ini bukan sekadar memberi ganjaran, tetapi juga simbol galakan dan motivasi kepada generasi muda untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik.
“Kerajaan negeri percaya pelaburan dalam pendidikan adalah asas kepada pembangunan umat dan negeri yang lebih maju serta berdaya saing,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata seramai 1,200 pelajar SPM, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) layak menerima sumbangan RM500 tahun lepas, dan jumlah itu dijangka meningkat tahun ini termasuk melibatkan pelajar luar bandar, dengan anggaran keseluruhan sumbangan tidak melebihi RM1 juta.
-- BERNAMA
