AM

KEBOCORAN PAIP KILANG SAWIT DIPERCAYAI PUNCA SUNGAI MARONG, JELEBU TERCEMAR

06/04/2026 03:29 PM

SEREMBAN, 6 April (Bernama) --  Pencemaran Sungai Marong, Jelebu yang dilaporkan berlaku Khamis lepas dipercayai akibat kebocoran paip membabitkan kilang sawit berhampiran kawasan berkenaan, kata Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan Abdul Aziz Parmin.

Beliau berkata paip berkenaan yang menghubungkan tangki anaerobik ke kolam fakultatif iaitu kolam digunakan untuk merawat air buangan, dipercayai mengalami kebocoran sehingga menyebabkan pelepasan sisa ke sungai.

“Bagaimanapun, tindakan segera telah diambil oleh kilang dengan membaiki paip tersebut. Kilang itu juga mempunyai lesen yang sah untuk beroperasi.

“JAS sedang menilai tahap pematuhan kilang terhadap syarat pelesenan di bawah Seksyen 16 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata pensampelan terhadap air sungai itu juga telah dilakukan pada 2 April untuk dianalisis dengan keputusannya dijangka akan diperoleh sekitar Mei.

Abdul Aziz berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan komited memastikan semua pengendali industri mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi melindungi alam sekitar.

Media sebelum ini melaporkan nelayan di kawasan berkenaan melahirkan rasa bimbang selepas pelbagai jenis ikan mati di sungai tersebut yang didapati bertukar hitam dan berbuih dipercayai akibat pencemaran.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan