BAGAN DATUK, 4 April (Bernama) -- Kerajaan sedang berusaha sedaya upaya mencari penyelesaian bagi mengatasi tekanan impak krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata komitmen itu diambil dengan memanggil peneraju industri bermesyuarat setiap minggu, melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memberi taklimat dan pandangan kepada ahli-ahli majlis berkenaan, sekali gus membincangkan jalan penyelesaian.
“Dan pandangan mereka diambil kira dalam langkah-langkah yang akan diambil kerajaan. Begitu juga, taklimat setiap hari diadakan secara langsung dan mudah-mudahan segala maklumat dapat disampaikan kepada rakyat,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk malam ini, beliau berkata semua pihak tidak boleh berada dalam zon selesa dan perlu bersiap siaga dalam menghadapi krisis yang sedang berlaku.
Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dihadiri kira-kira 14,000 pengunjung.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
-- BERNAMA
