KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Edisi ke-58 Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) April 2026 menyaksikan sambutan menggalakkan apabila tawaran diskaun, pakej keluarga serta pilihan pelancongan domestik dan serantau menjadi tarikan utama.
Tinjauan Bernama mendapati pengunjung mengambil peluang membandingkan harga dan memilih pakej terbaik susulan pelbagai promosi eksklusif sepanjang pameran tiga hari itu yang bermula semalam.
Pengarah Bukan Eksekutif Jualan Perniagaan-ke-Perniagaan (B2B) Muslim Travel Bug Sdn Bhd., Maz Mei Ling, berkata syarikat itu menawarkan diskaun sehingga RM300 seorang bagi semua pakej sempena MATTA Fair, selain insurans perjalanan percuma kepada pelanggan yang membuat tempahan di pameran berkenaan.
Beliau berkata pendekatan mengasingkan bayaran pelanggan ke akaun khas bertujuan memastikan keselamatan dana pelanggan sekiranya berlaku sebarang ketidaktentuan, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap syarikat.
Maz berkata konflik semasa di Asia Barat menyebabkan pelanggan lebih berhati-hati dan cenderung memilih destinasi tempatan serta Asia Timur, namun sebahagian besar tempahan masih berjalan seperti biasa.
“Setakat ini, kira-kira 85 peratus daripada tempahan dijangka diteruskan seperti dirancang,” katanya, sambil menambah pakej ke Turkiye masih diteruskan setakat ini.
Sementara itu, jurucakap Tourism Johor Mohd Azhari Abu Bakar berkata Pavilion Johor menerima sambutan memberangsangkan selari dengan promosi Tahun Melawat Johor dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Beliau berkata pelbagai produk pelancongan termasuk pakej ke taman negara, pulau serta produk industri kecil dan sederhana (IKS) ditawarkan kepada pengunjung, di samping usaha kerajaan negeri menggalakkan pelancongan domestik melalui pakej istimewa.
Dalam kalangan pengunjung, Nik Izni Fakhira Nik Ismail, 34, berkata MATTA Fair kekal relevan sebagai platform mendapatkan tawaran lebih murah berbanding tempahan dalam talian.
“Jika dibandingkan dengan tempahan dalam talian, harga yang ditawarkan di sini lebih murah. Tadi saya menempah sebuah hotel pada harga sekitar RM689, yang sememangnya berbaloi,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Asyiqin Ilyas, 30, berkata kepelbagaian pilihan serta tawaran baucar menjadi faktor utama kehadirannya, selain hasrat menyokong industri pelancongan tempatan melalui pakej domestik.
Secara keseluruhan, edisi ke-58 MATTA Fair mencerminkan permintaan kukuh terhadap pakej pelancongan berbaloi serta kecenderungan pengguna ke arah percutian lebih dekat, mesra keluarga dan bernilai.
-- BERNAMA
