DUNGUN, 4 April (Bernama) -- Penduduk di Felda Kerteh 3, Paka, dekat sini melahirkan kebimbangan terhadap kegiatan menuba ikan yang didakwa semakin berleluasa di Sungai Rasau sehingga menjejaskan sumber pendapatan nelayan sungai tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Kerteh 3 Alias Mamat berkata sejak Januari lepas, sebanyak empat kes menuba ikan telah dilaporkan berlaku di sungai berkenaan dan kejadian terbaharu berlaku pada Rabu lepas.
Beliau berkata perbuatan individu tidak bertanggungjawab itu telah memusnahkan ekosistem sungai dan mengancam kelangsungan hidupan akuatik.
“Dalam kejadian terbaharu itu, ribuan bangkai ikan timbul di beberapa lokasi sepanjang Sungai Rasau dipercayai akibat dituba.
"Individu terlibat dipercayai menuba ikan di beberapa lubuk di sungai berkenaan sejauh kira-kira empat kilometer dari Felda Kerteh 1 hingga Felda Kerteh 3," katanya ketika ditemui pemberita di felda berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata antara jenis ikan yang ditemukan mati ialah lampam, baung, sebarau, selat, tilan, terbul dan haruan.
Seorang penduduk Zawawi Ibrahim, 60, berkata dia sering memancing di sungai berkenaan dan hasil tangkapan ikan yang diperoleh bukan sahaja menjadi sumber makanan harian, tetapi juga dijual bagi menambah pendapatan keluarga.
"Saya memancing lampam, baung dan sebarau kerana harganya tinggi di pasaran antara RM15 hingga RM25 sekilogram.
"Ikan-ikan tersebut semakin berkurangan di sungai berkenaan akibat aktiviti menuba yang semakin berleluasa, terutamanya pada musim kemarau ini," katanya.
Sementara itu, Pengurus Felda Kerteh 3 Mohamad Hairun Abd Rahman berkata pihaknya kecewa dengan tindakan segelintir individu yang menuba ikan semata-mata untuk memperoleh hasil tangkapan yang banyak, sehingga sanggup membunuh anak-anak ikan sekali gus menjejaskan kelestarian sungai.
Beliau berkata sungai berkenaan menjadi tumpuan sebahagian warga Felda Kerteh 3 serta penduduk luar untuk memancing, selain berperanan sebagai sumber rezeki penting bagi penduduk setempat.
"Sehubungan itu pihak kami akan membuat laporan kepada Jabatan Perikanan bagi membolehkan siasatan dijalankan serta menahan individu terlibat supaya perbuatan itu tidak berleluasa," katanya.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Pang Nyukang ketika dihubungi hari ini berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan rasmi mengenai dakwaan kejadian menuba ikan di Sungai Rasau.
"Pegawai Jabatan Perikanan akan melakukan siasatan sekiranya terdapat laporan berkaitan kejadian tersebut," katanya.
Terdahulu tular menerusi laman sosial sebuah video memaparkan bangkai pelbagai jenis ikan timbul di Sungai Rasau selepas didakwa dituba Rabu lepas.
-- BERNAMA
