ISTANBUL, 3 April (Bernama-Anadolu) -- Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata Iran menyaksikan lebih 20 serangan ke atas kemudahan kesihatan sejak awal Mac susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Sejak 1 Mac, WHO mengesahkan lebih 20 serangan ke atas kemudahan kesihatan di Iran, yang mengakibatkan sekurang-kurangnya sembilan kematian, termasuk seorang petugas kesihatan penyakit berjangkit dan seorang anggota Persatuan Bulan Sabit Merah Iran,” menurut Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam catatan di platform media sosial X.
Ghebreyesus berkata beberapa serangan ke atas kemudahan kesihatan turut dilaporkan di Tehran dalam beberapa hari kebelakangan ini, yang menyasarkan Institut Pasteur, Hospital Psikiatrik Delaram Sina dan kemudahan farmaseutikal Tofigh Daru.
“Konflik di Iran dan rantau ini menjejaskan penyampaian perkhidmatan kesihatan serta keselamatan petugas kesihatan, pesakit dan orang awam yang berada di kemudahan kesihatan. Keamanan adalah ubat terbaik,” katanya.
Rantau itu berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada 28 Februari, yang meragut lebih 1,340 nyawa setakat ini, termasuk Ayatollah Ali Khamenei.
Iran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS, menyebabkan kematian dan kerosakan infrastruktur selain mengganggu pasaran global serta sektor penerbangan.
-- BERNAMA-ANADOLU
