KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Industri perbankan Malaysia kekal kukuh, berdaya tahan dan komited untuk menyokong pelanggan di tengah-tengah ketidaktentuan global termasuk perkembangan di Asia Barat, menurut Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (ABM).
Dalam satu kenyataan hari ini, persatuan itu berkata bank-bank kekal bersedia untuk memberikan sokongan dengan menyedari bahawa perkembangan luaran mungkin menimbulkan tekanan kewangan bagi sesetengah individu dan perniagaan.
“Keutamaan kami adalah memastikan pelanggan berasa disokong dan mempunyai akses kepada bantuan yang sesuai semasa berdepan masa sukar. Pelanggan yang mungkin berdepan kesukaran kewangan digalakkan untuk menghubungi bank masing-masing seawal mungkin.
“Bantuan sentiasa disediakan bagi mereka yang benar-benar memerlukan dan bank-bank akan terus menilai setiap situasi dengan berhati-hati, penuh pemahaman dan fleksibiliti,” menurut kenyataan itu.
ABM berkata bantuan daripada bank-bank mungkin merangkumi pengaturan semula bayaran balik dan penyelesaian kewangan khusus lain yang direka untuk membantu pelanggan mengurus tekanan jangka pendek sambil mengekalkan kesejahteraan kewangan jangka panjang.
“Industri perbankan kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan pelanggan dan pihak berkepentingan yang berkaitan bagi memastikan individu serta perniagaan yang berdaya maju terus menerima sokongan, sejajar dengan objektif lebih luas Malaysia mengenai kestabilan ekonomi dan ketahanan kewangan.
“ABM ingin menekankan bahawa penglibatan awal amat penting. Pelanggan digalakkan untuk menghubungi bank mereka dengan segera bagi membincangkan bantuan yang tersedia,” tambahnya.
-- BERNAMA
