AM

MYBHA KELANTAN PERKEMAS GERAK KERJA PELANCONGAN MESRA MUSLIM

01/04/2026 10:38 AM

KOTA BHARU, 1 April (Bernama) -- Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Kelantan terus memperkemas gerak kerja industri pelancongan negeri dengan mengadaptasi Garis Panduan Pengiktirafan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra-Muslim (MFAR) bagi memperkukuh kualiti serta penarafan premis penginapan.

Pengerusinya, Masdiyah Jemain berkata pelaksanaan MFAR yang berkuat kuasa sejak 1 Jun 2024 dilihat sebagai langkah strategik kepada ahli MyBHA dalam memastikan premis penginapan bajet, dan perniagaan memenuhi keperluan syariah serta kehendak pelancong Muslim yang kian meningkat, khususnya sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

"Dokumen MFAR memperincikan keperluan, kriteria serta proses pengiktirafan, sekali gus membantu pengusaha memahami piawaian mesra Muslim secara lebih jelas dan praktikal.

"Penarafan Lite diberikan kepada premis yang memenuhi keperluan minimum, manakala Emas dan Platinum masing-masing melibatkan pematuhan melebihi tahap minimum serta pencapaian tertinggi keperluan ditetapkan, sekali gus membuka peluang kepada ahli MyBHA untuk bersaing secara sihat dalam industri pelancongan," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Beliau berkata walaupun syarat pematuhan MFAR dilihat agak ketat, ia perlu dipatuhi oleh premis penginapan khususnya di bawah MyBHA bagi menjamin penyediaan kemudahan penginapan yang halal dan toyyib kepada semua pengunjung.

"Program seperti Sembang Industri bersama MyBHA Kelantan telah meningkatkan kesedaran dan kefahaman kira-kira 50 ahli mengenai kepentingan piawaian mesra Muslim yang diiktiraf Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Selain itu, ia turut menjadi platform perkongsian ilmu, pengalaman serta jaringan strategik antara pemain industri pelancongan melalui pengisian berbentuk taklimat, sesi interaktif dan soal jawab," katanya.

Masdiyah berkata inisiatif MFAR turut membuka peluang kepada ahli MyBHA termasuk premis penginapan tanpa penggredan MOTAC untuk meningkatkan daya saing dan menembusi pasaran pelancong Muslim global yang dianggarkan bernilai USD225 bilion, dengan cadangan penarafan minimum MFAR Lite.

"Usaha pemasaran bilik hotel berpotensi menembusi pasaran global menerusi rangkaian yang disediakan oleh Pusat Pelancongan Islam (ITC) di bawah MOTAC," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan