AM

KKR KOMITED PERKUKUH TADBIR URUS, SIAPKAN PUSAT REKOD PENDAFTARAN NEGARA LEBIH AWAL

31/03/2026 04:38 PM

CYBERJAYA, 31 Mac (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) akan terus komited memastikan setiap projek infrastruktur dilaksanakan secara profesional, mematuhi garis panduan pembangunan tempatan serta menepati piawaian kualiti ditetapkan demi manfaat jangka panjang rakyat, khususnya dalam memperkasa tadbir urus dan ekosistem keselamatan maklumat negara.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata komitmen itu dizahirkan menerusi pelaksanaan projek Pusat Rekod Pendaftaran Negara di sini, yang berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual.

Beliau berkata projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya itu diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini, dengan bangunan berkenaan dinamakan sebagai Bangunan Nilam Sari.

“Pusat rekod ini dibina di atas tapak seluas 3.79 hektar dan mula dilaksanakan pada 18 Nov 2020 sebelum berjaya disiapkan dengan pengeluaran Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), iaitu 32 hari lebih awal daripada tarikh siap yang diluluskan pada 13 April 2026,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad berkata projek bernilai RM119 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) itu bertujuan menyediakan kemudahan penyimpanan rekod yang lebih sistematik dan selamat, selaras dengan keperluan tadbir urus serta pematuhan undang-undang.

Beliau berkata pusat rekod berkenaan dibangunkan mengikut Garis Panduan Pusat Rekod Agensi oleh Arkib Negara Malaysia serta piawaian antarabangsa MS ISO 11799:2011 yang meliputi aspek penyimpanan, pemeliharaan dan pemuliharaan dokumen fizikal, media mikrofilem dan imej digital untuk tempoh jangka panjang.

“Pusat ini berupaya menempatkan rekod pendaftaran berkaitan kependudukan rakyat Malaysia secara berpusat dan mampu menampung penyimpanan sehingga 30 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata projek itu dilaksanakan oleh NS Construction Sdn Bhd menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan pencapaian skor IBS melebihi 70 peratus, melibatkan pembinaan pejabat pengurusan dan pentadbiran, ruang kerja dan operasi, ruang repositori serta kemudahan gunasama termasuk kafe, tandas, surau dan tempat letak kenderaan.

Ahmad berkata projek berkenaan turut mencatat pencapaian “3 dalam 1”, merangkumi penyediaan CPC, lukisan siap bina serta Penyata Akaun Muktamad. 

Selain itu, beliau berkata projek itu mencapai beberapa nilai tambah termasuk sifar kemalangan hilang masa, penyediaan dokumen pendaftaran aset, pelaksanaan penandaan aset bagi semua komponen serta penyediaan dokumen operasi dan penyelenggaraan.

“Projek ini juga melibatkan penyiapan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) LOD 500 serta memperoleh Sijil Penyempurnaan dan Pematuhan (CCC), sekali gus membuktikan usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam menyediakan kemudahan penyimpanan rekod yang berpiawaian,” katanya.

Beliau berkata Bangunan Nilam Sari dijangka memperkukuh pengurusan dan penyimpanan rekod kependudukan negara secara lebih sistematik dan selamat, seterusnya menyokong kesinambungan penyampaian perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara serta kerajaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan