DUNIA

MALAYSIA ZAHIR TAKZIAH INSIDEN ANGGOTA PENGAMAN INDONESIA DI SELATAN LUBNAN

31/03/2026 03:32 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan kerajaan Indonesia berikutan insiden yang mengorbankan seorang anggota pengaman dan mencederakan tiga yang lain di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Kementerian Luar dalam kenyataan pada Selasa menegaskan bahawa sebarang serangan ke atas misi pengaman UNIFIL merupakan pelanggaran yang serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi 1701 (2006) Majlis Keselamatan PBB.

“Malaysia menyeru semua pihak untuk mematuhi sepenuhnya kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk pelaksanaan Resolusi 1701 (2006) Majlis Keselamatan PBB serta resolusi-resolusi PBB yang berkaitan, bagi memastikan keselamatan pasukan pengaman PBB dan melindungi orang awam dan infrastruktur awam tanpa kompromi,” katanya.

Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra menegaskan bahawa pihak yang bertanggungjawab perlu dikenakan akauntabiliti.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Luar turut memaklumkan bahawa anggota Batalion Malaysia (MALBATT) yang sedang berkhidmat di bawah panji UNIFIL dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Indonesia pada Isnin mengesahkan bahawa seorang anggota pengamannya maut manakala tiga yang lain cedera selepas bedilan artileri tidak langsung mengenai satu pos UNIFIL di selatan Lubnan.

Menurut Kementerian Luar Indonesia, insiden berkenaan berlaku berhampiran Adchit al-Qusayr pada Ahad malam waktu tempatan (29 Mac), di tengah-tengah permusuhan berterusan antara tentera Israel dan kumpulan bersenjata di kawasan itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan