DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP TINGGI SUSULAN KEYAKINAN POSITIF PROGRAM B50 INDONESIA

30/03/2026 09:52 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Isnin dipacu oleh sentimen keyakinan positif susulan persiapan Indonesia untuk melaksanakan program biodiesel B50 tidak lama lagi, kata seorang peniaga.

Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata perkembangan ini ditambah dengan momentum kenaikan harga minyak mentah global yang memperkukuh jangkaan peningkatan permintaan terhadap minyak sawit sebagai bahan mentah utama selain menyokong lonjakan pasaran.

"Kami mendapati harga sokongan di atas RM4,700 dan menghadapi rintangan harga baharu pada RM4,850," katanya kepada Bernama.

Sewaktu berita ini ditulis, minyak mentah Brent meningkat 1.08 peratus kepada US$113.79 setong.

Pada penutup dagangan, kontrak April 2026 meningkat RM126 kepada RM4,666 setiap tan, kontrak Mei 2026 menambah RM137 kepada RM4,748 manakala kontrak Jun 2026 dan September 2026 masing-masing menokok RM141 kepada RM4,772 dan RM4,711.

Kontrak Julai 2026 berkembang RM145 kepada RM4,765 setiap tan manakala kontrak Ogos 2026 naik RM143 kepada RM4,740.

Jumlah dagangan menurun kepada 104,055 lot daripada 119,026 lot pada Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 242,882 kontrak daripada 236,911 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM untuk April Selatan naik sebanyak RM140 kepada RM4,700 setiap tan.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan