AM

SKIM PENGEMBARA AKAN DIBENTANGKAN KEPADA KABINET, 400,000 BAKAL TERIMA MANFAAT - RAMANAN

28/03/2026 11:52 AM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) kini dalam peringkat akhir bagi membentangkan cadangan pengenalan Skim Pengembara di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada Jemaah Menteri.

Menteri berkenaan Datuk Seri R. Ramanan berkata skim itu bertujuan menyediakan perlindungan sosial kepada lebih 400,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik setiap hari untuk bekerja di Singapura.

“Selain itu, kementerian juga sedang dalam peringkat akhir kajian untuk memperluas perlindungan sosial kepada golongan ibu bersalin, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas tentang pencapaian 100 hari beliau memegang portfolio berkenaan, Ramanan berkata fokus utama KESUMA adalah untuk memastikan setiap dasar yang dilaksanakan memberikan impak langsung kepada rakyat, khususnya dalam aspek perlindungan sosial, pembangunan kemahiran dan kebajikan pekerja.

“Dalam tempoh singkat ini, kita memberikan keutamaan kepada inisiatif yang bersifat menyeluruh dan berjangka panjang, bukan sekadar penyelesaian sementara,” katanya.

Ramanan berkata komitmen tersebut selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkasakan tenaga kerja negara.

Beliau berkata antara inisiatif utama yang berjaya ialah membawa Skim Lindung 24/7 kepada pekerja di bawah PERKESO ke Parlimen yang bakal memberikan manfaat kepada hampir 10 juta pekerja formal di seluruh negara.

Bagi menyokong sektor pelancongan, KESUMA turut melaksanakan inisiatif proaktif melalui tawaran latihan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SITI) secara percuma kepada 10,000 pekerja industri itu bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“PERKESO turut memeterai memorandum persefahaman bersama dengan PERHEBAT dan Jabatan Hal Ehwal Veteran bagi membangunkan ekosistem bersepadu untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Melalui kerjasama itu, sebanyak 5,000 veteran disasarkan menerima penempatan pekerjaan menerusi Program LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs Wira menjelang 2030,” katanya.

Ramanan berkata KESUMA juga memberikan tumpuan terhadap pembangunan bakat melalui program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) menerusi Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) yang dijangka memberikan manfaat kepada 90,000 individu.

Beliau, dalam pada itu, merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi pembiayaan latihan kemahiran pekerja gig melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) yang mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap sektor ekonomi gig.

Selain itu, Program Kemahiran VETRI MADANI 2026 bernilai RM10 juta turut dilancarkan dengan sokongan HRD Corp dan TalentCorp, menyasarkan latihan kemahiran teknikal, kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan serta penempatan pekerjaan bagi komuniti India daripada golongan B40.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan