KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Kerajaan sedang memperincikan pelaksanaan peraturan kerja lebih anjal bagi penjawat awam yang bekerja dari rumah (BDR) bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan minyak dunia berikutan krisis di Asia Barat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi perutusan khas hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan terpilih.
Selain itu, Perdana Menteri menggesa sektor swasta untuk melaksanakan BDR seperti yang dijalankan oleh beberapa syarikat dan bank selama ini.
“Bagi pihak kerajaan, insya-Allah kita akan terus menjaga disiplin, mengelak keborosan dan ketirisan, serta memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia ini kekal luar biasa.
“Setelah melihat kemurungan yang berlaku di dunia, kita lihat Malaysia masih mendapat tarikan dan menjadi pusat pelaburan yang sangat aktif, sepertimana yang telah diumumkan melalui beberapa langkah. Walaupun kemelut dan peperangan berlaku, masih ramai pelabur yang datang,” katanya.
Beberapa negara di Asia Tenggara, termasuk Myanmar, Thailand dan Indonesia, telah memperkenalkan dasar BDR untuk penjawat awam tahun ini bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan bahan api.
Selain itu, Perdana Menteri juga mengajak rakyat mendoakan agar Malaysia kekal aman, sambil menekankan bahawa semua rakyat, sama ada di sektor awam atau swasta, perlu bekerja gigih dan bersungguh-sungguh.
“Biar kita tingkatkan keupayaan ekonomi dalam setiap ujian dan cabaran daripada Allah Subhanahu wa ta’ala. Keadaan yang berlaku di dunia masih memberi kesempatan untuk memperbaiki dan meningkatkan keupayaan kita,” katanya.
-- BERNAMA
