PUTRAJAYA, 25 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meningkatkan operasi pemadaman dan pemantauan secara berterusan selama 24 jam susulan trend kebakaran terbuka yang menunjukkan peningkatan ketara sejak pertengahan Mac.
JBPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 12,222 kes kebakaran terbuka direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga 25 Mac lepas, dengan peningkatan kes yang konsisten bermula pada 17 Mac lepas.
"Bermula pada 17 Mac 2026, trend kebakaran terbuka menunjukkan peningkatan yang konsisten dan semakin ketara apabila bilangan kes meningkat secara berperingkat daripada 180 kepada 213 kes pada 19 Mac sebelum melonjak secara mendadak kepada 304 kes pada 20 Mac.
"Peningkatan ini berterusan kepada 363 dan 362 kes pada hari-hari berikutnya, seterusnya mencapai kemuncak tertinggi sebanyak 452 kes pada 23 Mac 2026, menandakan berlakunya lonjakan signifikan dalam tempoh yang singkat," menurut kenyataan itu.
JBPM memaklumkan jumlah kes menunjukkan sedikit penurunan kepada 444 dan 439 kes pada 24 dan 25 Mac, namun masih kekal pada paras yang tinggi.
"Situasi ini menggambarkan bahawa trend kebakaran terbuka masih berada pada tahap membimbangkan dan belum menunjukkan tanda penurunan yang stabil,” menurut kenyataan itu.
JBPM memaklumkan tempoh dua minggu kebelakangan ini memperlihatkan peralihan daripada keadaan terkawal kepada peningkatan yang lebih agresif, sekali gus memerlukan tindakan berterusan bagi mengawal situasi.
Menurut JBPM, Kedah merekodkan jumlah kes kebakaran terbuka tertinggi, iaitu sebanyak 2,411 kes, diikuti Johor (2,221 kes), Selangor (1,266 kes), Melaka (961 kes) dan Perak (935 kes).
Berdasarkan data kehadiran ke lokasi, JBPM memaklumkan kebakaran melibatkan kawasan belukar merupakan jenis kebakaran paling banyak direkodkan, iaitu 9,492 kes atau 77.66 peratus, diikuti kebakaran sampah sebanyak 1,280 kes atau 10.48 peratus, hutan (829 kes atau 6.78 peratus) dan kebun atau ladang (621 kes atau 5.08 peratus).
Dalam perkembangan sama, JBPM memaklumkan sebanyak 203 lokasi kebakaran berskala besar melibatkan keluasan melebihi dua hektar dikesan di 44 daerah merangkumi 11 negeri, dengan jumlah keseluruhan kawasan terjejas seluas 2,406.23 hektar.
Daripada jumlah itu, sebanyak 1,783.14 hektar atau 74.10 peratus kawasan telah berjaya dipadamkan, manakala baki 623.09 hektar atau 25.90 peratus masih dalam operasi pemadaman, khususnya di Pahang (537.36 hektar) dan Johor (85.73 hektar).
Pemantauan berterusan dilaksanakan di kawasan titik panas (hot spot) melalui data ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menerusi sistem Air Pollutant Index of Malaysia (APIMS), selain pemantauan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) secara 24 jam.
JBPM memaklumkan pemantauan dan rondaan juga dilaksanakan melalui tinjauan udara menggunakan helikopter dan dron, selain kerjasama dengan Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Pasukan Bomba Sukarela di seluruh negara.
JBPM memaklumkan jumlah kebakaran terbuka yang direkodkan menunjukkan trend turun naik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, iaitu 13,906 kes pada 2023, meningkat 17 peratus kepada 16,294 kes pada 2024, sebelum menurun kira-kira 39 peratus kepada 9,941 kes pada 2025
Sehubungan dengan itu, JBPM menasihati orang ramai supaya segera menghubungi talian kecemasan 999 sekiranya melihat sebarang kejadian pembakaran terbuka atau membuat laporan kepada JAS jika melibatkan aktiviti manusia.
Menurut JBPM, kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dengan hukuman denda hingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
-- BERNAMA
