JOHOR BAHRU, 23 Mac (Bernama) -- Laman Air di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini yang mula dibuka kepada orang ramai hari ini telah merekodkan kira-kira 1,200 pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata kehadiran memberangsangkan itu dapat dilihat sebaik kemudahan itu mula dibuka pagi tadi.
“Kemudahan rekreasi awam yang menarik amat dihargai oleh rakyat, khususnya sebagai ruang untuk anak-anak bermain air, keluarga beriadah serta masyarakat menjalani gaya hidup sihat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata sebanyak 36 kakitangan ditugaskan melibatkan pasukan penguatkuasaan, renjer taman, penyelamat, pengawal keselamatan serta pekerja pembersihan.
Mohd Jafni berkata kehadiran pasukan ini amat penting bagi memastikan kawasan rekreasi itu sentiasa berada dalam keadaan selamat, teratur dan bersih untuk keselesaan semua.
“Insya-Allah, kemudahan seperti ini akan terus diperkasakan selaras komitmen Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk memperbanyakkan ruang rekreasi mesra rakyat serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat di bandar-bandar di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata keseluruhannya kira-kira 4,500 orang direkodkan mengunjungi Hutan Bandar MBJB untuk beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan hari ini.
-- BERNAMA
