AM

TRANSFORMASI ETD HOSPITAL SUNGAI BULOH TINGKAT KEPUASAN PESAKIT

22/03/2026 09:25 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Usaha transformasi di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) Hospital Sungai Buloh berjaya meningkatkan kualiti perkhidmatan serta pengalaman pesakit, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa sistem kesihatan negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kemudahan di jabatan berkenaan kini tampil dengan wajah baharu hasil peruntukan tahun lepas, termasuk penyediaan Discharge Lounge yang lebih selesa serta naik taraf Kaunter Pendaftaran Zon Hijau yang lebih mesra pesakit.

Beliau berkata inisiatif itu berjaya memudahcara aliran kerja petugas dan urusan pesakit.

“Hasilnya amat membanggakan apabila tahap kepuasan pesakit berdasarkan penilaian Google meningkat daripada purata 3.0 kepada 4.7 daripada 5 dalam tempoh hanya tiga bulan.

“Lonjakan ini membuktikan penambahbaikan infrastruktur yang tepat mampu memberi impak besar terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas meninjau hospital itu sempena Aidilfitri, hari ini.

Menurut beliau penghargaan wajar diberikan kepada pasukan ETD Hospital Sungai Buloh atas komitmen tinggi dalam meningkatkan pengalaman pesakit, selain usaha berterusan menyantuni pesakit serta waris di ruang menunggu yang kini lebih kondusif.

“Kerajaan akan terus memastikan setiap fasiliti kesihatan awam bukan sahaja efisien, malah mengutamakan layanan mesra dan berkualiti kepada rakyat,” katanya.

Dzulkefly berkata beliau turut berkesempatan menyantuni Nur Farisah Qistina, 16, dari Kuala Selangor yang kini sedang bertarung untuk pulih daripada serangan strok.

“Selepas lebih dua bulan di Unit Rawatan Rapi (ICU), beliau kini stabil, sedar sepenuhnya dan gigih menjalani rehabilitasi walaupun masih memerlukan  bantuan pernafasan melalui tiub trakeostomi.

“Anakanda Farisah, teruslah kuat dan cekal hadapi dugaan ini. Seluruh warga Kuala Selangor serta pasukan perubatan di sini sentiasa mendoakan agar beliau segera sembuh dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Dugaan ini berat, namun sinar matanya menunjukkan keazaman luar biasa,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan