Oleh N.Sevagamy
KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Diplomasi kulinari kini muncul sebagai kaedah yang berkesan dalam mempromosikan pelancongan dan ekonomi kreatif Indonesia di Malaysia, dengan restoran Indonesia menjadi platform untuk mempamerkan warisan budaya negara itu serta mengukuhkan hubungan antara rakyat.
Menteri Penasihat (Urusan Ekonomi) di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur Hendra P. Iskandar berkata premis seperti Betawi Indonesian Cuisine di Taman Tun Dr Ismail di sini memainkan peranan penting dalam memperkenalkan cita rasa asli Indonesia sambil menyokong usaha mempromosi ekonomi.
Beliau berkata hidangan istimewa seperti soto Betawi, tauhu telur dan sayur lodeh mencerminkan kekayaan tradisi kulinari Indonesia serta membantu meningkatkan kesedaran terhadap daya tarikan pelancongan dan sektor kreatifnya.
“Melalui pengalaman kulinari, rakyat Malaysia dapat memahami dengan lebih mendalam identiti budaya Indonesia sambil membuka peluang untuk mempromosikan pelancongan dan ekonomi kreatif,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Berasal dari Jakarta, masakan Betawi dibentuk oleh pengaruh tradisi Melayu, Jawa, Sunda, Cina, Arab, India dan Eropah, serta mempunyai ciri penggunaan rempah ratus yang beraroma dan gabungan rasa manis, masam, masin dan pedas yang seimbang.
Hendra berkata bagi rakyat Indonesia yang menetap di luar negara, sajian seperti ini turut membangkitkan rasa keakraban dan hubungan dengan tanah air, di samping mengukuhkan pertukaran budaya antara dua negara berjiran.
Komitmen restoran tersebut terhadap keaslian rasa telah melayakkannya menerima Sijil Penghargaan daripada Pemasaran Pelancongan bagi Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Tengah di bawah Kementerian Pelancongan Indonesia.
Sementara itu, pengurusnya Siraj Al Munir @ Sam berkata restoran tersebut yang dibuka pada April 2024, menawarkan lebih daripada 80 hidangan untuk iftar sepanjang bulan puasa baru-baru ini.
Antara hidangan popular yang ditawarkan ialah iga bakar (tulang rusuk daging lembu bakar), tauhu telur, sup ekor lembu (sop buntut) dan soto Betawi, manakala pilihan pencuci mulut seperti pisang ijo (hijau) istimewa, bubur caca dan dwi sumsum turut mendapat sambutan hangat.
Beliau berkata restoran tersebut menawarkan 14 jenis sambal, daripada rasa manis dan sedikit masam sehingga kepada rasa yang lebih kuat, pedas dan masam, sekali gus membolehkan pelanggan menyesuaikan hidangan mereka.
Restoran ini turut menyediakan perkhidmatan katering untuk majlis korporat, program sosial dan acara istimewa.
-- BERNAMA
