KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Umat Islam di Malaysia perlu terus menghayati nilai sebenar Aidilfitri, iaitu kesederhanaan, kesyukuran, belas kasihan dan prihatin terhadap golongan yang memerlukan, kata Tan Sri Lee Lam Thye.
Pejuang Perpaduan Negara itu mengajak sambutan Aidilfitri dilakukan secara sederhana bagi mengelakkan pembaziran, khususnya pada saat mencabar ini, selaras dengan semangat Ramadan yang mengajar pengorbanan, disiplin dan empati.
“Aidilfitri tahun ini disambut dalam semangat bermuhasabah, pada saat dunia terus berhadapan dengan konflik berterusan di Asia Barat selain pelbagai cabaran global yang menjejaskan kehidupan.
“Di negara kita sendiri, rakyat Malaysia juga menghadapi peningkatan kos sara hidup dan ketidakpastian ekonomi yang menuntut daya tahan, berhemat dan perpaduan,” katanya dalam kenyataan sempena Aidilfitri hari ini.
Lee turut menyeru semua rakyat Malaysia untuk memperkukuh ikatan perpaduan dan solidariti serta menghulurkan bantuan antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang.
Mengambil kira banyak keluarga sedang menghadapi tekanan kewangan, beliau berkata penting untuk mengamalkan perbelanjaan berhemat dan pengurusan kewangan yang bertanggungjawab demi kesejahteraan isi rumah serta komuniti.
“Semoga Aidilfitri kali ini menjadi permulaan baharu untuk kita semua mengukuhkan semula nilai yang kita kongsi, memperkukuh sifat kemanusiaan dan bekerjasama ke arah membina masyarakat lebih prihatin, bersatu, dan berdaya tahan,” katanya.
-- BERNAMA
