KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Harapan skuad Harimau Malaya untuk layak ke Piala Asia 2027 mungkin sudah berakhir, namun semangat juang pasukan kebangsaan tetap tidak pernah luntur.
Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend berkata mereka kini akan berlepas ke Hanoi untuk perlawanan terakhir Kumpulan F pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 31 Mac dengan penuh tekad.
“Fokus kami sepenuhnya adalah kepada persiapan untuk perlawanan menentang Vietnam, di mana pasukan akan bertanding dengan keyakinan, ketabahan dan disiplin yang sama seperti yang ditunjukkan sepanjang 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malaysia mencatat keputusan cemerlang apabila menang kesemua lapan perlawanan sebelum ini, termasuk menewaskan Vietnam 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun tahun lepas.
Friend berkata mereka menghormati keputusan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung pemotongan mata terhadap skuad negara.
“Kami menghormati proses pengawalseliaan pertandingan. Pada masa yang sama, perkara ini sedang disemak melalui saluran undang-undang yang sewajarnya.
“Sepanjang tempoh ini, keutamaan kami tetap jelas iaitu untuk menyokong pemain dan kakitangan, serta memastikan mereka berada dalam keadaan terbaik untuk mewakili Malaysia dengan profesionalisme, perpaduan dan kebanggaan,” katanya.
Warga Kanada itu juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada penyokong atas kepercayaan berterusan terhadap pasukan, walaupun kontroversi pemain warisan yang pernah menggoncang bola sepak Malaysia sebelum ini.
Selasa lepas, Malaysia diisytiharkan tewas 0-3 dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 selepas AFC memutuskan Harimau Malaya menurunkan pemain tidak layak ketika aksi berkenaan sebelum ini.
Susulan keputusan itu, Harimau Malaya hanya mengumpul sembilan mata dalam aksi kelayakan dan kehilangan tempat pada Piala Asia 2027.
Sebelum penalti itu dikenakan, Malaysia mendahului kumpulan dengan 15 mata, diikuti Vietnam 12 mata, Laos tiga mata, manakala Nepal tidak mempunyai sebarang mata.
Walaupun jika Malaysia menewaskan Vietnam dalam perlawanan terakhir kumpulan pada 31 Mac, ia masih tidak mencukupi untuk skuad kebangsaan layak ke Piala Asia 2027 kerana mereka hanya akan mempunyai 12 mata, manakala Vietnam akan kekal di tangga teratas kumpulan dengan 15 mata.
Hanya pasukan teratas dalam kumpulan layak ke peringkat akhir Piala Asia di Arab Saudi dari 7 Jan hingga 5 Feb tahun depan.
Sebagai rekod, AFC membuka siasatan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung dakwaan pemalsuan dokumen yang melibatkan tujuh pemain warisan, yang sebelum ini digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada September lepas kerana dakwaan yang sama.
Tujuh pemain tersebut ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
-- BERNAMA
