JENAYAH & MAHKAMAH

BEKAS PENGURUS KANAN SYARIKAT MULTINASIONAL DIDAKWA TERIMA HARTA CURI LEBIH RM2.1 JUTA

19/03/2026 01:10 PM

IPOH, 19 Mac (Bernama) -- Seorang bekas pengurus kanan sebuah syarikat multinasional hari ini sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan menerima harta curi iaitu wang berjumlah lebih RM2.1 juta milik sebuah syarikat Indonesia, tiga tahun lepas.

NV Vemal, 36, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha. 

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa secara tidak jujur menerima wang tunai berjumlah RM735,294.11 dalam akaun Maybank miliknya kepunyaan PT Steelindo Wahana Perkasa, anak syarikat Kuala Lumpur Kepong Berhad, walaupun mengetahui ia adalah harta curi.

Bagi kesalahan kedua, dia didakwa menerima RM1,447,521.87 dalam akaun banknya milik syarikat sama.

Vemal didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Maybank Jalan Sultan Idris Shah di sini, masing-masing pada 26 Julai dan 15 Ogos 2023, mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya S. Nishaalini menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan beserta syarat tambahan iaitu dua penjamin warga Malaysia, tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran.

Peguam Aashwini Rajan pula memohon jaminan minimum atas alasan Vemal kini tidak bekerja, dan mencadangkan jumlah RM5,000.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Punitha turut menetapkan 8 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pada 23 Jan lepas, Vemal mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas dua pertuduhan menerima dan melupuskan wang berjumlah lebih RM1.4 juta milik sebuah syarikat Indonesia tiga tahun lepas.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan