AM

HIKMAH DI SEBALIK UJIAN, SAAD KINI PEMBUAT CAPAL TRADISIONAL

19/03/2026 11:08 AM

Oleh Nurul Syahirah Zulkifli

KANGAR, 19 Mac (Bernama) -- Detik duka diberhentikan kerja sebagai buruh kilang susulan kegawatan ekonomi pada 2000 menjadi ‘hikmah tersirat di sebalik ujian’ yang membuka jalan untuk bergelar pembuat capal tradisional.

Saad Saep, 60, dari Kampung Chemumar Tengah, Simpang Empat dekat sini berkata beliau tidak menyangka ujian kehilangan pekerjaan di kilang pembuatan komponen plastik itu menjadi sinar baharu dalam kehidupannya.

Saad ketika menceritakan pengalamannya kepada Bernama berkata beliau mula mengasah bakat dalam pembuatan kasut tradisional Melayu daripada seorang rakan semasa menetap di Sungai Petani, Kedah, sebelum memberanikan diri menghasilkan serta menjual sendiri produk berkenaan di pasar malam dan bazar.

“Pada masa itu, saya ikut kawan buat capal di rumahnya kira-kira tiga bulan. Saya bantu dia sedikit demi sedikit dan daripada situ saya nampak ada sambutan terhadap capal, terutama bila masuk Ramadan hingga menarik minat saya dalam pembuatan capal ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Berkat ketekunan beliau, capal hasil sentuhan tangannya mula mendapat tempat di hati pelanggan dengan permintaan yang terus meningkat saban tahun, khususnya setiap kali menjelang musim perayaan.

Saad berkata beliau mendaftarkan perniagaannya di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada 2009 sebelum berpindah ke Perlis setahun kemudian untuk mengendalikan bengkel pembuatan kasut tradisional itu di sini. 

“Pada masa ini, saya mampu menghasilkan lapan reka bentuk capal menggunakan kulit asli dan PVC yang dijual pada harga antara RM35 hingga RM250 sepasang mengikut kualiti bahan serta kerumitan rekaan.

“Pada perayaan Aidilfitri, jumlah jualan capal saya boleh mencecah sekitar 8,000 pasang berikutan peningkatan permintaan terhadap produk tradisional ini. Kebiasaannya sambutan terhadap capal akan meningkat bila masuk Ramadan dan malam raya selalunya jualan paling tinggi,” katanya.

Saad yang kini mempunyai empat pekerja untuk menghasilkan capal dengan jenama “dr.saad” itu berkata kira-kira 90 peratus dijual secara borong kepada peniaga di beberapa negeri.

Beliau bagaimanapun meluahkan kebimbangan mengenai kelestarian produk warisan itu memandangkan minat golongan muda terhadap capal semakin pudar ditelan zaman.

“Generasi dahulu memang faham capal ini produk warisan Melayu tetapi generasi sekarang ramai yang tidak kenal. Jadi, saya tetap teruskan usaha menghasilkan capal supaya tidak hilang kasut tradisional Melayu ini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan