SUKAN

JELAJAH SUKAN SEA 2027 SELEPAS AIDILFITRI - DR MOHAMMED TAUFIQ

18/03/2026 08:13 PM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar dan Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

PUTRAJAYA, 18 Mac (Bernama) -- Sebaik diberi kepercayaan menggalas portfolio Menteri Belia dan Sukan sejak 16 Dis lepas, penganjuran Sukan SEA 2027 di Malaysia menjadi fokus utama Dr Mohammed Taufiq Johari.

Berbaki kira-kira 18 bulan sebelum penganjuran Sukan SEA kembali ke Malaysia tahun depan, Dr Mohammed Taufiq berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memiliki perancangan jitu dalam usaha memperhebatkan promosi temasya sukan dwitahunan itu kepada orang ramai.

Dalam temu bual eksklusif bersama Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj baru-baru ini, beliau berkata KBS akan menganjurkan siri jelajah Sukan SEA 2027 yang dijadualkan berlangsung selepas sambutan Aidilfitri tahun ini bagi menyemarakkan “vibe” (suasana) dalam kalangan rakyat Malaysia sebelum temasya sukan itu dibuka secara rasmi di Sarawak pada 18 Sept 2027.

“Kami akan mengadakan jelajah menuju Sukan SEA 2027, kami mahukan semua rakyat bercakap berkenaan dengan Sukan SEA ini sepanjang tahun sehingga September 2027.

“Sebenarnya rakyat adalah ejen terbaik menjadi jurucakap Sukan SEA ini. Kami mungkin tidak perlu membelanjakan yang lebih untuk pemasaran dan sebagainya kalau kami mampu menjelaskan kepada rakyat akar umbi di bawah, di kampung-kampung berkenaan dengan Sukan SEA ini,” katanya ketika ditemui di pejabat menteri di sini.

Menerusi siri jelajah itu, Mohammed Taufiq berkata beliau sememangnya mahu Sukan SEA 2027 berupaya menarik minat dan penglibatan segenap lapisan masyarakat selain menjadikan temasya itu sebagai satu festival sukan dinantikan orang ramai.

Beliau berkata jelajah Sukan SEA 2027 yang bakal membuka tirai di Sarawak selepas Aidilfitri itu juga bertujuan mendapatkan maklum balas daripada orang ramai mengenai langkah terbaik bagi memastikan penganjuran acara berkenaan berlangsung dengan jayanya.

Dr Mohammed Taufiq pada masa sama juga berkata pengumuman logo dan maskot rasmi Sukan SEA 2027, yang dipilih berdasarkan pertandingan dianjurkan KBS tahun lepas akan diadakan dalam masa terdekat.

Pertandingan mencipta logo dan maskot rasmi edisi ke-34 Sukan SEA yang dibuka sejak Oktober hingga Disember lepas menawarkan hadiah wang tunai RM8,000 dan sijil kepada pemenang.

Selain Sarawak, Sukan SEA 2027 turut dianjurkan di tiga kluster lain, iaitu Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur dengan melibatkan 38 jenis sukan.

Sarawak akan menjadi kluster utama dan lokasi upacara pembukaan, dengan 17 sukan dipertandingkan iaitu akuatik, angkat berat, bola keranjang, boling, boling padang, e-sukan, gimnastik, golf, kriket, memanah, menembak, Muay Thai, petanque, skuasy, taekwondo, tenis dan wusyu.

Kluster Pulau Pinang pula melibatkan enam sukan, iaitu sepak takraw, snuker dan biliard, judo, tinju, pingpong dan floorball manakala kluster Johor hanya melibatkan satu acara iaitu bola sepak.

Kluster Kuala Lumpur akan menjadi lokasi upacara penutup dengan 14 sukan dipertandingkan, iaitu badminton, berbasikal (Velodrom Nasional, Nilai), bola tampar, bola jaring, ekuestrian, hoki, karate, lawan pedang, luncur ais, olahraga, pencak silat, pelayaran (Langkawi), ragbi dan ski air.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA adalah pada 2017 yang menyaksikan kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.

Selain edisi 2017, Malaysia pernah menjadi hos pada edisi 1965, 1971, 1977, 1989 dan 2001.

Sukan SEA 2027 dijadualkan melabuhkan tirai pada 29 Sept.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan