SEREMBAN, 18 Mac (Bernama) -- Polis Negeri Sembilan menjangkakan 800,000 kenderaan akan memasuki negeri itu untuk cuti Aidilfitri, meningkat 74 peratus berbanding 460,000 pada hari biasa.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata sebanyak 40 pegawai dan 242 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bertugas bagi Ops Selamat yang dilaksanakan enam hari bermula esok.
Beliau berkata Ops Lancar pula dilaksanakan dari hari ini hingga Jumaat serta 27 hingga 29 Mac di semua daerah bagi memastikan kelancaran trafik.
“Antara laluan dijangka mengalami kesesakan ialah Jalan Seremban-Kuala Pilah, khususnya di lokasi gerai jualan itik salai yang tidak dapat dielakkan daripada kesesakan atau trafik perlahan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Alzafny mengingatkan orang ramai tidak meletakkan kenderaan sehingga menghalang laluan utama ketika singgah di gerai berkenaan.
Selain itu, beliau berkata sebanyak 12 lokasi panas atau hotspot kesesakan dikenal pasti di seluruh negeri.
Alzafny menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau mengisi borang balik kampung di balai polis terdekat bagi membolehkan rondaan dilakukan sepanjang ketiadaan penghuni.
Setakat ini, beliau berkata 60,589 pengguna telah mendaftar VSP namun hanya 19 permohonan borang balik kampung dibuat melalui aplikasi itu.
-- BERNAMA
