KUALA BERANG, 18 Mac (Bernama) -- Meskipun pelbagai kuih raya moden dan kek menjadi juadah pilihan sempena Aidilfitri, tapai pulut daun getah kekal sebagai antara juadah tradisional yang masih diminati.
Keaslian rasanya selain penggunaan daun getah sebagai pembungkus melambangkan identiti tersendiri berbanding pencuci mulut moden.
Pembuat tapai pulut daun getah, Siti Hafsah Mamat, 69, berkata tapai pulut bukan sekadar makanan manis bertekstur lembut tetapi lambang kesinambungan tradisi yang diwarisi turun-temurun dalam keluarganya.
“Sekarang memang banyak kuih moden, cantik dan pelbagai rasa tetapi tapai ini lain. Ada penjual yang menggunakan bekas kecil untuk letak tapai tetapi rasanya tak sama... kalau bungkus dengan daun getah aromanya lain, keharuman yang membangkitkan selera.
“Hidangan ini mempunyai keunikan tersendiri walaupun hanya menggunakan bahan asas iaitu beras pulut dan ragi,” katanya kepada Bernama di rumahnya di Kampung Tok Lawit di sini hari ini.
Siti Hafsah yang telah menyediakan tapai pulut sejak lebih empat dekad berkata proses pembuatannya ringkas namun memerlukan ketelitian bermula daripada beras pulut ditanak atau dikukus sebelum dibiarkan sejuk.
Pulut kemudian digaul bersama ragi seterusnya dibungkus menggunakan daun getah sebelum diperam sekurang-kurangnya dua hari untuk mencapai rasa yang diinginkan.
Ibu tunggal itu berkata keseimbangan rasa manis dan sedikit masam serta tekstur lembut menjadikan tapai pulut sesuai dinikmati sebagai pencuci mulut terutama ketika musim perayaan.
“Pada awalnya saya buat untuk makan sendiri dan keluarga sahaja sebelum turut menerima tempahan kecil-kecilan daripada rakan terdekat dan saudara mara. Kalau menjelang raya atau majlis perkahwinan, ada yang akan tempah tapai pulut daun getah ini.
“Untuk Aidilfitri kali ini, saya sediakan hampir 10 kilogram tapai pulut yang dibuat bersama rakan dan dibantu anak perempuan,” katanya sambil menambah daun getah diperoleh dari kebunnya sendiri.
Menurut Siti Hafsah, aroma daun getah yang meresap sepanjang proses pemeraman menjadi identiti utama tapai pulut, sekali gus menghasilkan bau wangi semula jadi yang sukar ditandingi.
Anak jati Terengganu itu berkata walaupun pelbagai kuih moden semakin mendapat tempat, tapai pulut daun getah tetap mempunyai peminat tersendiri kerana keaslian rasa serta nilai tradisinya.
-- BERNAMA
