Oleh Suraidah Roslan
KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Sekilas pandang, biskut “SenYumm” tidak tumpah seperti kudapan Aidilfitri lain, namun di sebalik kerangupannya tersirat nilai kasih sayang dan kesabaran tinggi kerana ia dihasilkan sepenuhnya oleh remaja sindrom Down.
Projek istimewa itu merupakan inisiatif Seribu Wajah Sindrom Down Centre dalam memperkasakan golongan istimewa menerusi kemahiran penyediaan juadah tradisi seperti biskut raya dan bubur lambuk.
Pengasas Seribu Wajah Sindrom Down Centre, Nurdiyana Mohd Jonis, 51, berkata nama “SenYumm” dipilih hasil gabungan perkataan “sen” (duit) dan “yummy” (sedap), sebagai simbolik usaha murni remaja berkenaan menjana pendapatan melalui hasil tangan yang enak.
Beliau mengakui bukan mudah untuk melatih anak-anak sindrom Down menyiapkan sesuatu tugasan tanpa latihan berterusan, memandangkan perkembangan kognitif mereka lazimnya lebih perlahan berbanding usia sebenar.
“Mereka sangat gembira apabila dapat bertemu dengan komuniti sendiri dan bekerjasama menyiapkan biskut raya serta membuat bubur lambuk pada Ramadan ini,” katanya kepada Bernama.
Nurdiyana berkata setakat ini, pusat berkenaan menerima tempahan sebanyak 200 peket biskut raya, termasuk 100 peket yang ditempah khas oleh seorang individu untuk diagihkan sebagai infak ke masjid.
Beliau berkata tahun ini merupakan pengalaman pertama anak-anak istimewa berkenaan terlibat dalam aktiviti sedemikian memandangkan pusat yang terletak di Seri Kembangan itu baru ditubuhkan tahun lepas.
Di pusat berkenaan, anak-anak istimewa itu juga mula mempelajari kemahiran asas seperti mengupas sayur dan teknik penyediaan bahan mentah yang diajar secara berperingkat oleh tenaga pengajar berpengalaman dengan had waktu kerja fleksibel bagi memastikan kualiti serta emosi pelatih sentiasa terjaga.
“Berdasarkan pemerhatian, ada antara mereka yang sebelum ini tidak pernah mengupas lobak, tetapi kini sudah mula mendapat pendedahan kepada kerja-kerja dapur.
“Kami mengajar mengikut kemampuan mereka dan tempoh bekerja juga dihadkan kepada maksimum tiga jam kerana apabila mereka penat, mereka jadi lemau sikit tapi tiadalah mengamuk.
“Sebagai contoh, pada hari pertama kami hanya fokus mengajar cara memecahkan telur sehingga mereka benar-benar mahir. Kami perlu memahami apa yang mereka mampu lakukan dan apa yang masih memerlukan bimbingan,” katanya.
Selain kemahiran memasak, Nurdiyana berkata aspek kerohanian turut diberi tumpuan apabila majoriti peserta kali pertama belajar berpuasa pada tahun ini.
Daripada 10 peserta terlibat, katanya hanya dua yang pernah berpuasa penuh selebihnya baru kali pertama belajar berpuasa tahun ini, justeru mereka memerlukan masa rehat mencukupi.
Berkongsi lanjut mengenai perkembangan pusat tersebut, Nurdiyana berkata pihaknya dalam proses membuka kafe Seribu Wajah pada bulan depan juga di Seri Kembangan yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh remaja sindrom Down berusia 19 tahun ke atas.
Walaupun kafe itu bakal diuruskan oleh anak-anak sindrom Down, tenaga pengajar tetap akan memantau setiap pergerakan mereka bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa terjamin, khususnya ketika berada di dapur.
Sementara itu, pelatih remaja, Hani Nur Alya Anuar, 18, menyifatkan aktiviti membuat biskut raya dan memasak bubur lambuk sebagai pengalaman menyeronokkan kerana dilakukan bersama rakan-rakan.
"Saya gembira berpuasa bersama ahli keluarga dan kawan-kawan sindrom Down sambil buat pelbagai aktiviti di sini," katanya yang berharap orang ramai menyokong projek biskut “SenYumm”.
-- BERNAMA
