KOTA BHARU, 18 Mac (Bernama) -- Dua maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Bandar Baru Tanah Merah, Jalan Machang-Tanah Merah awal pagi tadi.
Komander Operasi PBK II Hamdan Abdullah berkata mangsa yang maut itu ialah seorang wanita warga emas berusia 64 tahun dan seorang remaja perempuan berumur 14 tahun.
"Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada 4.35 pagi mengenai kemalangan membabitkan dua kenderaan, iaitu sebuah kereta Perodua Myvi yang melibatkan enam mangsa dan sebuah kereta BMW 5 Siri yang melibatkan seorang mangsa.
"Dua mangsa, iaitu penumpang kereta Perodua Myvi meninggal dunia di lokasi kejadian manakala mangsa yang lain selamat," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata dua penumpang Perodua Myvi yang maut dikenali sebagai Wan Rokiah Wan Ahmad, 64, dan Nur Zara Zakirah Abdul Aliyy, 14.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Perodua Myvi, yang dalam perjalanan dari arah Machang ke Tanah Merah, dipercayai membelok ke kanan lebih awal untuk memasuki simpang ke Bandar Tanah Merah.
“Pada masa sama, sebuah BMW dari arah Jeli ke Machang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi kiri Perodua Myvi sebelum terbabas dan terbalik di atas jalan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, ahli keluarga mangsa yang maut Wan Mohd Azana Wan Mohd Najib berkata jenazah kedua-dua mangsa yang mempunyai pertalian darah nenek dan cucu akan dibawa pulang ke Rawang, Selangor untuk dikebumikan.
Beliau berkata mereka pulang ke Kelantan untuk menziarahi keluarga anak saudara Wan Rokiah yang meninggal dunia di Kampung Kutan Hilir, Tumpat.
-- BERNAMA
