EKONOMI

AIRFREIGHT FORWARDERS MAHU PELARASAN SURCAJ BAHAN API YANG LEBIH TELUS

17/03/2026 10:10 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Airfreight Forwarders Association of Malaysia (AFAM) menggesa supaya pelarasan surcaj bahan kargo udara (FSC) oleh syarikat penerbangan tempatan dikaitkan dengan indeks harga bahan api yang diiktiraf atau penanda aras yang telus, seperti yang diamalkan oleh syarikat penerbangan antarabangsa. 

Cadangan tersebut dikemukakan selepas ahli persatuan itu mendapati terdapat perbezaan dalam kadar surcaj bahan api di seluruh laluan kargo domestik, terutamanya dalam sektor yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

“Memperkenalkan lebih ketelusan menerusi penanda aras yang diiktiraf atau mekanisme berkaitan indeks akan membantu memastikan FSC kekal sebagai komponen pemulihan kos yang adil dalam rantaian bekalan logisitk.

“Pada masa sama, ia menyediakan kebolehramalan yang adil dan lebih baik untuk perniagaan yang bergantung kepada perkhidmatan kargo udara di seluruh Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut AFAM, walaupun syarikat penerbangan antarabangsa secara amnya menggunakan FSC berdasarkan indeks harga bahan api global yang diiktiraf, pasaran domestik akan menggunakan tahap FSC tanpa penanda aras atau mekanisme rujukan yang jelas. 

“Penghantar barang udara memainkan peranan penting dalam memudahkan perdagangan domestik dan antarabangsa Malaysia dengan menghubungkan syarikat penerbangan, pengeksport dan pengimport.

“Surcaj tambahan yang tidak dapat diramalkan akan merumitkan perancangan logistik dan menyukarkan perniagaan untuk menguruskan kos pengangkutan dengan berkesan,” katanya. 

Gesaan itu dibuat susulan kebimbangan yang dibangkitkan oleh AFAM berikutan perbezaan ketara dalam tahap FSC yang dikenakan oleh syarikat penerbangan yang beroperasi di dalam sektor kargo udara Malaysia. 

Persatuan itu berkata perbezaan FSC berlaku walaupun syarikat penerbangan beroperasi di bawah keadaan pasaran bahan api dan infrastruktur lapangan terbang yang sama. 

AFAM turut menekankan bahawa industri itu tidak menentang pemulihan bahan api oleh syarikat penerbangan tetapi percaya pelarasan surcaj bahan api perlu disesuaikan dengan indeks harga bahan api atau penanda aras yang telus.  

“Mekanisme sedemikian biasanya terikat dengan penanda aras yang diiktiraf seperti Pemantau Harga Bahan Api Jet IATA atau Indeks Bahan Api Jet Singapura, bagi memastikan pelarasan surcaj kekal telus dan sejajar dengan pergerakan kos bahan api sebenar,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi AFAM Thomas Mathew berkata persatuan itu menyokong pemulihan kos yang sah oleh syarikat penerbangan tetapi menegaskan bahawa situasi semasa menimbulkan keperluan supaya wujud lebih ketelusan.

Beliau berkata surcaj bahan api perlu secara idealnya mencerminkan pergerakan sebenar dalam harga bahan api penerbangan global dan mengikut penanda aras yang telus. 

“Tanpa mekanisme rujukan yang jelas, terdapat risiko bahawa surcaj sedemikian boleh menjadi tidak konsisten di seluruh pasaran, yang akhirnya memberi kesan kepada kos menjalankan perniagaan bagi syarikat Malaysia,” tambahnya. 

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan