JENAYAH & MAHKAMAH

EMPAT INDIVIDU KELUAR KENYATAAN BERBAUR PROVOKASI ISU AGAMA, KAUM DITUDUH ESOK - KPN

16/03/2026 08:26 PM

PUTRAJAYA, 16 Mac (Bernama) -- Empat individu yang mengeluarkan kenyataan hingga mencetuskan perdebatan berbaur provokasi berhubung isu agama dan perkauman akan dituduh di mahkamah berasingan di beberapa lokasi pagi esok, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Ia melibatkan pertuduhan terhadap Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) Zamri Vinoth di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Tamim Dahri (Mahkamah Majistret Langkawi, Kedah), P. Mahendra Bhoopaty (Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan) dan aktivis D.Arumugam atau Arun Dorasamy di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang.

Bercakap dalam sidang media di sini hari ini, beliau mengesahkan siasatan terhadap keempat-empat individu berkenaan telah selesai dengan kertas siasatan dirujuk secara berasingan ke pejabat Peguam Negara dan Pengarah Pendakwaan Negeri selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Mohd Khalid berkata siasatan terhadap Zamri Vinoth adalah berhubung kenyataan penganjuran perhimpunan di pekarangan Kompleks Sogo di ibu negara pada 7 Feb lepas.

Beliau berkata pertuduhan akan dikemukakan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Siasatan terhadap Tamim pula adalah berhubung tindakan merosakkan “soolam” yang menjadi simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama Kuil Sri Maha Muniswarar di Langkawi, Kedah, yang akan dituduh di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu merosakkan atau mencemarkan apa-apa benda yang dipegang suci oleh mana-mana golongan orang dengan niat hendak mengaibkan agama.

Sementara itu, Mahendra Bhoopathy dan Arun berdepan pertuduhan sama iaitu di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan. 

“Siasatan terhadap Mahendra Bhoopathy adalah berhubung hantaran menuduh Masjid Jamek Datuk Bandar Haji Ahmad Rasah, Seremban sebagai masjid haram, manakala siasatan terhadap Arun berkenaan kenyataan mengajak Persatuan Hindu Agama Ani Malaysia mengadakan protes jalanan sekiranya tiada tindakan diambil terhadap Zamri Vinoth,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Khalid berkata pihaknya mempunyai maklumat risikan bahawa Tamim dipercayai telah meninggalkan negara ini dan berada di negara jiran.

“Kita ada maklumat risikan bahawa beliau telah keluar ke negara jiran iaitu Thailand. Dari situ kita masih belum pasti beliau berada di mana dan maklumat lanjut sedang diperoleh,” katanya.

Bagi Zamri Vinoth pula, beliau berkata pihak polis mempunyai maklumat awal mengenai pergerakannya dan percaya individu berkenaan mungkin masih berada dalam negara.

“Kita ada maklumat awal hari itu (Zamri Vinoth), saya percaya mungkin dia berada dalam negara dan setakat ini, kita mendapat kerjasama yang baik daripada individu berkenaan," jelasnya. 

Mohd Khalid turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan