KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Jemaah Menteri bersetuju untuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) memantau perkembangan krisis di Asia Barat dan perbincangan mendalam diadakan secara mingguan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata mesyuarat MTEN Bilangan 2 Tahun 2026 yang dipengerusikannya hari ini telah mendengar taklimat berkaitan petunjuk utama semasa ekonomi negara dan secara keseluruhan keadaaan adalah terkawal.
“Namun, pemantauan dan langkah-langkah awal atas kemungkinan-kemungkinan yang bakal timbul perlu direncanakan sekarang.
“Sehubungan itu, perbincangan-perbincangan MTEN akan melibatkan penyertaan lebih aktif daripada pihak industri bagi memastikan pemahaman isu dan cadangan penyelesaian yang lebih cepat serta praktikal dapat ambil,” kata beliau dalam hantaran menerusi platform X hari ini.
Anwar berkata Kerajaan MADANI akan terus memantau rapat krisis itu serta kesannya kepada ekonomi dan rakyat.
“(Kerajaan MADANI) kekal fokus mengekalkan asas ketahanan ekonomi negara dan memastikan kelangsungan hidup rakyat tidak terjejas,” kata beliau.
MTEN merupakan sebuah majlis penasihat ekonomi kepada kerajaan yang pertama kali ditubuhkan pada 7 Jan, 1998.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Dis, 2022 bersetuju supaya MTEN dikekalkan sebagai sebuah majlis penasihat ekonomi tertinggi kepada kerajaan.
Majlis itu juga akan bertindak sebagai peneraju dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan ke atas ekonomi negara secara menyeluruh dengan memberikan fokus kepada keputusan dasar merentas kementerian dan agensi untuk menyelesaikan isu struktural berkaitan ekonomi mengikut keutamaan kerajaan.
-- BERNAMA
