AM

SESI PERSEKOLAHAN BERJALAN SEPERTI BIASA, TIADA KETETAPAN LAKSANA PDPR - KPM

16/03/2026 07:05 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Sesi persekolahan berjalan seperti biasa buat masa ini dan tiada sebarang ketetapan dibuat berkaitan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad dalam kenyataan hari ini memaklumkan keutamaan KPM adalah untuk memastikan pembelajaran anak-anak tidak terjejas, pada masa sama aspek kebajikan dan kesejahteraan semua pihak terpelihara.

“KPM prihatin terhadap semua kegusaran yang dibangkitkan masyarakat berhubung berita yang tular mengenai kemungkinan pelaksanaan PdPR,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata KPM akan meneliti secara menyeluruh pelaksanaan PdPR bagi memastikan keputusan yang bakal dibuat mengambil kira kepentingan warga pendidik, ibu bapa dan murid.

Pada Khamis lepas, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata pelaksanaan pengaturan kerja fleksibel termasuk bekerja dari rumah (BDR) dilihat sebagai antara langkah penting bagi memastikan kesinambungan operasi kerajaan dalam menghadapi dunia yang semakin tidak menentu akibat konflik geopolitik, bencana atau krisis kesihatan awam.

Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Feb susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara-negara Teluk.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan