AM

JUALAN AGRO MADANI PRA SYAWAL TAWAR HARGA BERPATUTAN, BANTU USAHAWAN TEMPATAN

16/03/2026 01:31 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Penganjuran Jualan Agro MADANI Pra Syawal bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna melalui penawaran harga barangan lebih rendah malah membantu usahawan agromakanan tempatan memperluas pasaran mereka.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Aminuddin Zulkipli berkata melalui program itu, usahawan tempatan dijangka mampu memperoleh tambahan pendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 sepanjang program dari 7.30 pagi hingga 3 petang.

“Program ini menyasarkan untuk memenuhi keperluan kira-kira 5.5 peratus daripada jumlah penduduk kawasan Parlimen Selayang, yang dianggarkan seramai 363,289 orang berdasarkan data Banci 2020.

“Program ini sebahagian daripada usaha berterusan FAMA bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada bekalan makanan yang mencukupi pada harga berpatutan khususnya menjelang musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program itu, yang turut dihadiri Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri serta Pengerusi Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor Anfaal Saari di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang di sini.

Aminuddin berkata program itu dijangka menarik kira-kira 5,000 pengunjung yang mewakili sekitar 20,000 isi rumah dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM150,000 serta penjimatan kepada pengguna dianggarkan mencecah RM45,000.

Beliau juga berkata menjelang Aidilfitri, barangan asas seperti daging, beras dan sayur-sayuran berada pada tahap stabil.

“Setakat ini, bekalan dan harga masih stabil... jadi, tidak perlu ada pembelian panik,” katanya.

Aminuddin turut memaklumkan pematuhan peniaga terhadap kawalan harga berada pada tahap baik setakat ini, dan pihak berkuasa belum mengesan sebarang pelanggaran.

Sementara itu, Anfaal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Templer berkata sebanyak 500 ekor ayam yang dijual pada harga RM10 seekor manakala 1,800 kilogram daging pula dijual pada harga RM30 sekilogram.

“Program ini juga menawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus bagi beberapa barangan terpilih yang dijual kepada pengunjung,” katanya

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan