AM

INISIATIF TIKET PENERBANGAN, BAS PERCUMA BANTU MAHASISWA JOHOR PULANG KE KAMPUS

16/03/2026 11:40 AM

JOHOR BAHRU, 16 Mac (Bernama) -- Anak Johor menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di Sabah dan Sarawak menyambut baik inisiatif Meh Balik Kampus 2026 yang diperkenalkan kerajaan negeri bagi membantu meringankan kos perjalanan kembali ke kampus selepas sambutan Aidilfitri.

Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan Abdul Shahid Abdul Muhaimin, 22, berkata bantuan itu amat bermakna, khususnya bagi pelajar yang menuntut jauh dari negeri asal.

“Sebagai anak Johor, saya gembira kerana kerajaan negeri tidak meminggirkan pelajar yang berada jauh dari negeri.

“Ini lebih bermakna kerana kos tiket penerbangan yang lazimnya antara RM200 hingga RM400 boleh digunakan untuk perbelanjaan harian selama dua minggu di kampus,” katanya kepada Bernama.

Senada ialah mahasiswa UMS Kampus Kota Kinabalu Nur Syafiqah Nor Hisam, 22, yang berkata kos perjalanan udara antara perbelanjaan terbesar bagi mahasiswa di Sabah dan Sarawak.

“Kos tiket penerbangan agak tinggi, belum termasuk perbelanjaan lain seperti bagasi dan makanan. Jadi apabila kerajaan negeri memperkenalkan bantuan ini, ia benar-benar meringankan beban sekali gus mendorong kami untuk mendapatkan keputusan cemerlang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Mahasiswa Anak Johor Kebangsaan (GAJ) Muhammad Irfan Firdaus Md Fauzi berkata mahasiswa perlu memanfaatkan sepenuhnya bantuan dan platform disediakan kerajaan negeri. 

Ini termasuk Insentif Mahasiswa Anak Johor (IMA1J) berjumlah RM200, kemudahan bas percuma serta bantuan tiket penerbangan kepada penuntut di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Bantuan diberikan bukan sekadar untuk menampung kos harian, tetapi juga sebagai galakan untuk kembali berbakti kepada Johor dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta modal insan negeri,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin berkata kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM1.4 juta bagi menjayakan inisiatif Meh Balik Kampus 2026 untuk membantu anak Johor pulang ke kampus selepas Aidilfitri.

Beliau berkata kerajaan negeri turut memperkenalkan bantuan tiket penerbangan khas untuk kali pertama kepada anak jati negeri yang melanjutkan pengajian di Sabah, Sarawak dan Labuan, selain inisiatif pengangkutan bas percuma pulang ke kampus.

Inisiatif Meh Balik Kampus 2026 yang dilaksanakan di bawah Teras 3: Orang Muda Johor menerusi Belanjawan Johor 2026 merupakan usaha kerajaan negeri memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa serta menyokong pembangunan modal insan negeri.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan