AM

JHEV ANJUR MY WARRIORS RUN 2026 PADA 7 JUN INI

16/03/2026 11:02 AM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) --  Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia akan menganjurkan acara larian amal My Warriors Run 2026 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 7 Jun ini.

Kenyataan JHEV hari ini memaklumkan larian santai sejauh tujuh kilometer itu, yang bertema  #LarianDemiPahlawan, dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat di samping memperingati jasa pasukan keselamatan.

Menurut JHEV, pendaftaran acara itu kini dibuka menerusi pautan https://checkpointspot.asia/event/my-warrior-run26 dan akan ditutup pada 3 Mei ini.

“Yuran pendaftaran ialah RM40 bagi kategori individu berumur 13 tahun ke atas manakala RM120 bagi kategori keluarga yang merangkumi dua peserta dewasa dan dua kanak-kanak.

“Penyertaan adalah percuma bagi ahli keluarga tambahan dalam kategori keluarga dan kanak-kanak berumur tujuh tahun ke bawah namun kit larian tidak disediakan untuk kumpulan ini,” menurut kenyataan itu.

Setiap peserta akan menerima sehelai baju-T larian, nombor bib, pingat penamat dan beg cenderamata selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk basikal elektrik, televisyen pintar, tablet serta telefon pintar.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan