AM

MTA, MALAYSIAN RE RAI 78 ANAK YATIM DAN ASNAF, SALUR SUMBANGAN RM40,195

15/03/2026 06:18 PM

PUTRAJAYA, 15 Mac (Bernama) -- Sebanyak 78 anak yatim dan asnaf dari Rumah Pengasih Warga Prihatin, Bangi diraikan pada program Sinar Kasih: Iftar dan Silaturrahim Bersama Pelajar Anak Yatim dan Asnaf anjuran Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dengan kerjasama Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re).

Program sempena Ramadan itu memberi peluang kepada anak-anak berkenaan memilih sendiri pakaian serta keperluan hari raya melalui sesi membeli-belah di sebuah pusat beli-belah, sekali gus membawa kegembiraan kepada mereka menjelang Syawal.

Ketua Pegawai Operasi MTA Hasri Hamidan berkata program berkenaan antara inisiatif kebajikan yang dilaksanakan oleh industri takaful sepanjang bulan Ramadan bagi membantu golongan memerlukan.

“Program Sinar Kasih bersama anak-anak yatim ini memberi peluang kepada mereka membeli-belah keperluan untuk menyambut hari raya, selain berkongsi kegembiraan Ramadan bersama mereka,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata program kali ini mendapat penajaan penuh daripada Malaysian Re melalui dana Zakat Wakalah, dengan jumlah sumbangan sebanyak RM40,195, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat itu.

Program itu turut melibatkan kira-kira 30 sukarelawan daripada MTA dan Malaysian Re yang mengiringi anak-anak berkenaan sepanjang sesi membeli-belah bagi memastikan mereka dapat memilih pakaian dan barangan keperluan dengan selesa.

Selepas sesi membeli-belah, kesemua peserta menyertai majlis berbuka puasa bersama sebagai sebahagian daripada pengisian program.

Selain itu, sebahagian daripada sumbangan turut disalurkan kepada Rumah Pengasih Warga Prihatin sebagai tanda sokongan terhadap usaha rumah kebajikan itu menjaga serta membimbing anak-anak yatim dan asnaf terbabit.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Re Ahmad Noor Azhari Abdul Manaf berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen syarikat dalam menyalurkan dana Zakat Wakalah kepada golongan yang benar-benar memerlukan melalui program yang memberi impak langsung kepada masyarakat.

“Kami percaya dana zakat yang diamanahkan perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi membantu meningkatkan kesejahteraan golongan asnaf, khususnya anak-anak yang memerlukan sokongan dalam kehidupan seharian mereka.

“Melalui kerjasama dengan MTA dalam program ini, kami berharap ia bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, malah menyemai semangat keprihatinan dan kebersamaan dalam kalangan semua pihak yang terlibat,” katanya.

-- BERNAMA 


 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan