AM

MBSB BANK SUMBANG RM85,000 BANTU PELAJAR B40 DI SARAWAK SKILLS

14/03/2026 06:46 PM

KUCHING, 14 Mac (Bernama) -- MBSB Bank Berhad menyumbang RM85,000 bagi membantu 340 pelajar beragama Islam daripada keluarga B40 yang sedang menuntut di bawah Kumpulan Institusi Pengajian Sarawak Skills.

Sarawak Skills dalam kenyataan hari ini memaklumkan sumbangan itu sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bank tersebut, bertujuan membantu meringankan beban kewangan pelajar kurang berkemampuan semasa mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Di bawah inisiatif ini, setiap pelajar akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM250, yang memberi manfaat kepada pelajar daripada  beberapa institusi dalam kumpulan Sarawak Skills.

“Penerima terdiri daripada 155 pelajar Sarawak Skills Kuching manakala Institut Automotif dan Kimpalan Sarawak (44), Sarawak Skills Sri Aman (16), Sarawak Skills Mukah (46), Sarawak Skills Miri (62) dan Institut Latihan Pertanian dan Vokasional Sarawak (16) dan Sarawak Skills Bintulu (seorang),” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Pengurus MBSB Bank Wilayah Sarawak Hawina Abang Hipni menyerahkan cek cura kepada Pengarah Eksekutif Sarawak Skills Hallman Sabri pada majlis yang diadakan di Sarawak Skills Kuching, di sini.

Hallman dalam kenyataan itu mengucapkan penghargaan kepada MBSB Bank atas sumbangan tersebut yang memberi manfaat besar kepada pelajar daripada keluarga B40 serta membolehkan mereka fokus kepada pengajian dan pembangunan kemahiran.

Beliau berkata inisiatif sebegini menekankan kepentingan kerjasama antara institusi pendidikan dan rakan industri dalam memupuk tenaga kerja yang mahir dan kompeten.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan