BERITA TERGEMPAR   Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | 
 EKONOMI

PERANCIS BERUSAHA PERLUAS PELABURAN DALAM SEKTOR AERONAUTIK, TENAGA DAN MINERAL KRITIKAL DI MALAYSIA

13/03/2026 09:53 PM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Perancis menggalakkan lebih banyak syarikatnya melabur di Malaysia, khususnya dalam sektor seperti aeronautik, tenaga dan mineral kritikal termasuk unsur nadir bumi (REE), menurut Duta Besar Perancis ke Malaysia Marc Abensour.

Beliau berkata Malaysia kini dilihat sebagai destinasi yang menarik untuk syarikat-syarikat Perancis yang ingin mengembangkan jejak di Asia Tenggara.

“Tahun lepas, Malaysia merupakan sebuah negara dalam ASEAN yang menerima pelaburan Perancis dengan jumlah paling ketara.

“Secara keseluruhannya, jumlah pelaburan Perancis di Malaysia ialah sekitar 4.7 bilion euro (1 euro = RM4.51),” katanya kepada Bernama di luar program The Nation: Diplomatic Dispatch bertajuk “Malaysia and France Relations: Trade, Global Issues and Strategic Cooperation” terbitan Bernama TV.

Abensour berkata daya tarikan Malaysia kepada pelabur Perancis dipacu oleh beberapa faktor termasuk kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi dan ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang fasih berbahasa Inggeris.

“Anda boleh lihat dengan jelas bahawa Malaysia merupakan destinasi yang semakin dianggap menarik melalui peningkatan jumlah syarikat Perancis ketika mereka mengembangkan jejak di sini,” katanya.

Mengulas mengenai sektor aeronautik, Abensour berkata masih terdapat potensi yang besar untuk Malaysia dan Perancis mengembangkan kerjasama dalam sektor berkenaan.

“Dari segi kerjasama angkasa lepas, kita boleh melakukan lebih banyak lagi. Malaysia mempunyai agensi angkasa lepas, tetapi buat masa ini, tidak semua kerjasama yang diperlukan antara kedua-dua negara telah diwujudkan,” katanya.

Abensour menambah Perancis percaya sumbangan kepada pembangunan asas industri pertahanan Malaysia boleh membawa perubahan yang ketara, sambil menyatakan beberapa syarikat pertahanan Perancis turut terbabit bukan sahaja dalam aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), malah juga dalam program seperti pembinaan kapal.

“Pemindahan teknologi turut disalurkan ke Malaysia supaya syarikat tempatan boleh membangunkan keupayaan pembinaan kapal sendiri dan tidak perlu membinanya di luar negara. Ini adalah sesuatu yang kami berhasrat untuk diteruskan,” katanya.

Apa yang penting, Malaysia dan Perancis baru-baru ini memasuki fasa terakhir untuk menandatangani perjanjian baharu yang akan meluaskan skop kerjasama pertahanan dua hala.

Mengenai sektor tenaga, Abensour berkata Malaysia dan Perancis sudah bekerjasama dalam industri minyak dan gas apabila TotalEnergies SE dari Perancis mempunyai pelaburan yang besar di Sabah sementara kedua-dua negara juga sedang meneroka kerjasama dalam projek peralihan tenaga seperti solar dan tenaga hidro.

Beliau berkata Malaysia dan Perancis juga boleh bekerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan bahan api pengangkutan yang lebih bersih, terutamanya untuk penerbangan dan perkapalan, sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan pelepasan karbon.

"Di Perancis contohnya, sudah ada kapal perdagangan yang menggunakan hidrogen dan teknologi pelayaran yang semakin maju dalam bidang ini. Jadi, banyak yang boleh kita lakukan bersama dalam peralihan tenaga," katanya.

Mengenai REE pula, Abensour berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Perancis François Bayrou menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara syarikat perlombongan tempatan, Malaco Mining Sdn Bhd dengan pakar REE Perancis, Carester semasa lawatan rasmi Anwar ke Perancis.

"Melalui perjanjian ini, apa yang kami mahu capai adalah untuk menyokong Malaysia dalam meningkatkan rantaian nilai dari segi pemprosesan REE terutamanya dalam proses pengasingan unsur berkenaan.

"Selain itu, perjanjian berkenaan turut memastikan Malaysia memproses REE dengan mematuhi sepenuhnya piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya.

Mengulas lanjut mengenai proses berkenaan, beliau menjelaskan pengasingan akan bermula di Malaysia sebelum bahan-bahan itu dihantar ke Perancis untuk dilengkapkan menjadi oksida nadir bumi berat yang kemudiannya dilogamkan dan akhirnya ditukar menjadi magnet kekal.

"Itulah yang sedang kami bincangkan pada masa ini dan kami melihat ini sebagai satu gambaran tentang apa yang kami ingin capai dalam pelbagai sektor strategik selain satu lagi cara untuk membangunkan apa yang disebut sebagai 'perkongsian kedaulatan' iaitu meningkatkan autonomi bersama dalam sektor-sektor strategik," katanya.

Sementara itu, Abensour juga berkata Perancis akan terlibat sepenuhnya dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA).

“Ini amat kritikal ketika sesetengah negara kadangkala menggunakan perdagangan untuk mempengaruhi dan juga memberi tekanan,” katanya.

Perbincangan mengenai MEUFTA dimulakan pada 2010 tetapi ditangguhkan pada 2012, sebahagian besarnya disebabkan oleh perselisihan faham berhubung beberapa isu seperti minyak sawit dan piawaian kemampanan.

Selepas lebih satu dekad, Malaysia dan EU secara rasmi menyambung semula rundingan pada tahun lepas semasa lawatan Anwar ke Brussels.

Pusingan keempat rundingan MEUFTA akan dianjurkan oleh Malaysia dan diadakan pada Jun 2026, susulan momentum positif daripada pusingan-pusingan perbincangan yang terdahulu.

Dalam perkembangan lain, Abensour turut memuji Malaysia Airlines kerana memperkenalkan penerbangan tambahan bagi laluan Kuala Lumpur–London Heathrow dan Kuala Lumpur–Paris Charles de Gaulle dari 6 hingga 8 Mac bagi membantu pelancong yang terjejas disebabkan konflik di Asia Barat.

"Kami berdepan kesukaran dengan orang ramai yang terkandas di Asia Barat dan tempat-tempat lain termasuk di sini dan pada satu ketika, kira-kira 250 warganegara Perancis terkandas di Malaysia.

"Situasi ini secara beransur-ansur kembali normal dan sebahagiannya berterima kasih kepada penerbangan tambahan yang diatur termasuk yang disediakan oleh Malaysia Airlines," katanya.

-- BERNAMA  

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan