BERITA TERGEMPAR   Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | 
 AM

BALAI RAYA DINAIK TARAF MANFAATKAN PENDUDUK KAMPUNG BUKIT TEMENSU/KAMPUNG TEBAT KERING

13/03/2026 09:54 PM

KUALA PILAH, 13 Mac (Bernama) -- Lebih 300 penduduk Kampung Bukit Temensu/Kampung Tebat Kering, di sini kini menikmati kemudahan balai raya yang lebih selesa selepas bangunan itu siap dinaik taraf menerusi Projek Kampung Angkat MADANI 2025 Kementerian Komunikasi dengan peruntukan sebanyak RM285,000.

Balai raya berkenaan yang siap dinaik taraf pada Disember tahun lepas itu diserahkan kepada penduduk setempat hari ini dengan majlis penyerahan projek berkenaan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim, Pegawai Daerah Kuala Pilah merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah Nawal Mohamed Amin dan Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Datuk Aminurrahim Mohamed.

Kementerian Komunikasi dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena dengan majlis itu memaklumkan projek tersebut yang dilaksanakan selama 10 minggu bermula dari Oktober tahun lepas itu menyediakan kemudahan lebih selesa dan kondusif kepada penduduk untuk menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

"Antara kerja dilaksanakan termasuklah pembaikan bumbung dan siling, pemasangan kemasan lantai baharu, pengecatan semula bangunan serta pemasangan sistem penyaman udara, kipas dan lampu yang lebih terang bagi memastikan balai raya lebih selesa, bersih dan moden untuk kegunaan penduduk.

"Ruang tandas dan pantri turut diperbaharu sepenuhnya dengan pemasangan jubin serta kelengkapan baharu yang lebih baik," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Selain itu, katanya, aspek keselamatan kawasan luar turut dipertingkatkan menerusi pemasangan pagar di sekeliling bangunan serta penyediaan anjung berbumbung yang lebih luas bagi memudahkan penganjuran majlis oleh penduduk setempat.

Program Kampung Angkat MADANI diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 yang memberikan tumpuan kepada penyediaan kemudahan asas di kawasan desa terpilih sebagai langkah memastikan kemudahan itu dapat dinikmati masyarakat, sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan luar bandar.

Kementerian Komunikasi turut menekankan kepentingan pembangunan prasarana komuniti sebagai wadah integrasi sosial dan pusat pertemuan masyarakat bagi memperkukuh kesejahteraan serta hubungan ukhuwah dalam kalangan penduduk setempat. 

Terdahulu, majlis penyerahan itu turut diserikan dengan jamuan berbuka puasa bersama komuniti, yang menjadi platform ziarah kasih untuk merapatkan hubungan silaturahim antara pengurusan tertinggi kementerian dengan penduduk setempat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Raja Azhar Raja Aziz, 54, ketika ditemui Bernama berkata pemilihan kampung itu sebagai kampung angkat Kementerian Komunikasi merupakan "hadiah" kepada penduduk setempat.

"Alhamdulillah dengan wajah baharu balai raya ini dapatlah kami jalankan aktiviti kemasyarakatan dengan lebih selesa berbanding sebelum ini keadaannya sangat daif,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan