BERITA TERGEMPAR   Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | 
 EKONOMI

BURSA PELAWA MAKLUM BALAS AWAM BAGI CADANGAN PINDAAN DANA DAGANGAN MATA WANG DIGITAL

13/03/2026 06:08 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd mengeluarkan kertas rundingan dalam usaha mendapatkan maklum balas awam mengenai cadangan pindaan memudah cara penyenaraian serta perdagangan dana dagangan bursa (ETF) mata wang digital.

Dalam kenyataan hari ini, pengendali bursa itu menyatakan langkah berkenaan menyusuli semakan terkini Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ke atas garis panduan ETF dikeluarkan pada 2 Mac 2026 yang membolehkan penawaran ETF mata wang digital di bawah rangka kerja pengawalseliaan yang dipertingkat.

“Ini dirangka bagi memberi pelabur dengan pendedahan yang terkawal serta telus menerusi produk pasaran modal yang maju serta diterima secara meluas.

“Sehubungan itu, Bursa Malaysia mengalu-alukan penyenaraian ETF seumpamanya di bursa yang menjadi sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengembangkan serta mempelbagaikan rangkaian penawaran ETF kepada pelabur,” menurutnya.

Inisiatif itu juga sejajar dengan Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 yang bertujuan memperluaskan akses kepada peluang pelaburan di luar kelas aset tradisional selain menyokong pembangunan pasaran modal Malaysia secara berterusan.

Menurut Bursa Malaysia Securities, cadangan pindaan itu menumpukan terutamanya pendedahan yang dipertingkatkan mengenai maklumat penting tertentu berkaitan ETF mata wang digital dalam pengumuman segera serta laporan tahunan di bawah syarat penyenaraian Pasaran Utama dalam usaha meningkatkan aspek ketelusan.

“Ini turut meningkatkan pendedahan mengenai risiko utama berkaitan ETF mata wang digital dalam kenyataan pendedahan risiko yang perlu ditandatangani oleh pelabur sebelum bertindak melabur dalam ETF mata wang digital di bawah Arahan Bursa Malaysia bagi menggalakkan pendidikan pelabur serta kesedaran mengenai risiko,” menurut Bursa Malaysia.

Sehubungan itu, pengendali pasaran itu mengalu-alukan pandangan dan maklum balas awam mengenai cadangan pindaan berkenaan selewat-lewatnya menjelang 10 April 2026 menerusi pautan https://www.bursamalaysia.com/regulation/public_consultation.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan