BERITA TERGEMPAR   Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | 
 AM

320 ASNAF PARLIMEN KUALA KEDAH TERIMA SUMBANGAN ZAKAT WAKALAH, BAKUL RAMADAN

13/03/2026 06:44 PM

ALOR SETAR, 13 Mac (Bernama) -- Sebanyak 320 penduduk dalam kalangan asnaf fakir dan miskin di sekitar Parlimen Kuala Kedah menerima sumbangan zakat wakalah serta bakul Ramadan melalui Program Sumbangan Kasih Ramadan dan Syawal anjuran Cyberview Sdn Bhd di sini, hari ini.

Pengerusi Cyberview Datuk Romli Ishak berkata penerima terdiri daripada asnaf fakir dan miskin yang dikenal pasti sebagai golongan memerlukan di sekitar Anak Bukit, Kubang Rotan dan Pengkalan Kundur.

Beliau berkata setiap penerima mendapat sumbangan wang tunai melalui zakat wakalah selain set bakul persiapan perayaan yang mengandungi pelbagai barangan keperluan dapur.

Romli berkata bantuan berkenaan bertujuan membantu penerima membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri.

“Inisiatif zakat wakalah ini ialah usaha berterusan pihak syarikat dalam memastikan bantuan disalurkan secara terus dan telus kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Program ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan penerima menjelang Aidilfitri, malah diharap dapat membawa kegembiraan dan keceriaan kepada mereka sekeluarga,” katanya ketika berucap pada majlis itu di sini, hari ini.

Romli berkata pelaksanaan program berkenaan turut melibatkan kerjasama rakan strategik tempatan bagi memastikan proses pemilihan penerima dibuat secara teliti.

Beliau berkata langkah itu sekali gus memastikan bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang paling memerlukan dalam komuniti setempat.

Kehadiran pihak pengurusan syarikat di lapangan juga, katanya, melambangkan komitmen sektor korporat untuk terus bersama-sama masyarakat dalam memperkukuh kesejahteraan sosial.

Program penyerahan zakat wakalah di Kuala Kedah itu ialah siri lanjutan kepada inisiatif sama yang sebelum ini dilaksanakan di Sepang sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat Cyberview dalam membantu komuniti yang memerlukan di seluruh negara.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan