BERITA TERGEMPAR   Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | 
 DUNIA

INDIA TELITI BAHAN API ALTERNATIF KURANGKAN TEKANAN PADA GAS MEMASAK

13/03/2026 05:50 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 13 Mac (Bernama) -- India sedang meneliti "bahan api alternatif" bagi mengurangkan tekanan ke atas bekalan gas memasak berikutan laluan laut yang membawa bahan api itu berdepan ketegangan disebabkan oleh konflik Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran.

Kekurangan gas petroleum cecair (LPG) telah memaksa restoran mengubah suai menu mereka untuk mengurangkan bahan makanan yang dimasak panas, dan membuatkan isi rumah berjimat dalam penggunaan gas harian atau beralih kepada peralatan memasak elektrik.

Seorang pemilik restoran di Delhi berkata dia hanya boleh menghidangkan empat hingga enam hidangan daripada kira-kira dua dozen yang disenaraikan dalam menu, manakala seorang lagi tidak dapat memperoleh silinder (gas) baharu walaupun dua hari mencuba. 

Banyak pengguna isi rumah terpaksa membeli daripada pengedar haram, kadangkala membayar dua atau tiga kali kadar rasmi sebanyak 913 rupee setiap silinder.

India bergantung pada import untuk 60 peratus penggunaan LPGnya dan 90 peratus daripadanya diangkut melalui Selat Hormuz, kata Sujata Sharma, setiausaha bersama di Kementerian Petroleum dan Gas Asli.

Bercakap pada taklimat media pada Khamis, beliau berkata force majeure (keadaan luar jangka) yang diisytiharkan oleh pengeluar di Teluk telah menjejaskan bekalan dan India kini sedang mencari laluan alternatif serta pembekal untuk menampung kekurangan itu.

Kerajaan India pada 9 Mac menggunakan Akta Komoditi Penting untuk memberikan keutamaan pada penjualan gas kepada isi rumah dan kenderaan.

Sehari sebelumnya ia mengarahkan kilang penapisan dan syarikat petrokimia untuk meningkatkan pengeluaran LPG.

Perdana Menteri Narendra Modi dalam ucapan pada acara di New Delhi pada Khamis, membuat beberapa rujukan kepada sektor tenaga besar India, termasuk penggunaan LPG negara itu.

Beliau berkata dalam tempoh 12 tahun bilangan sambungan LPG meningkat lebih dua kali ganda kepada 330 juta. Begitu juga, bilangan isi rumah yang dibekalkan gas asli berpaip (PNG) telah meningkat daripada 2.6 juta pada 2014 kepada 12.5 juta.

Pegawai Kementerian Petroleum berkata "ia adalah situasi yang sukar" tetapi kerajaan cuba memastikan bekalan yang mencukupi kepada pengguna domestik.

Terdapat 25,000 pengedar di seluruh negara dan lima juta silinder LPG dihantar setiap hari, kata Sharma, sambil menambah tiada kekeringan LPG dilaporkan.

“Tetapi terdapat banyak tempahan berganda kerana panik,” katanya.

Di seluruh India, kekurangan LPG mengakibatkan orang beratur panjang dan jutaan rakyat biasa menghadapi krisis keselamatan makanan, dengan kedai-kedai makan terpaksa ditutup dan panik meluas dalam kalangan rakyat,” ahli parlimen parti Kongres K.C. Venugopal berkata di media sosial.

Dalam sektor LPG komersial, keutamaan diberikan pada hospital dan institusi pendidikan manakala sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada pengarah eksekutif daripada syarikat negeri Indian Oil Corporation Ltd, Hindustan Petroleum Corporation Ltd dan Bharat Petroleum Corporation Ltd sedang menyemak peruntukan kepada restoran, hotel dan pengguna perniagaan lain.

“Pilihan bahan api alternatif "sedang diaktifkan untuk mengurangkan tekanan pada saluran LPG dan gas," kata Sharma.

Ini melibatkan membekalkan lebih banyak minyak tanah, arang batu dan minyak bahan api ke negeri-negeri untuk pengedaran dan melonggarkan peraturan alam sekitar mengenai penggunaan pelet biojisim dan bahan api terbitan sampah (RDF) dalam segmen hospitaliti dan restoran selama sebulan.

Langkah baharu itu amat berbeza dengan kempen India sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk menghapuskan minyak tanah, arang batu dan kayu api secara berperingkat sebagai bahan bakar memasak.

Jika masalah LPG dan ketidaktentuan bekalan berterusan, sektor hospitaliti mungkin terpaksa bergantung lebih pada dapur induksi, masakan elektrik atau dapur kayu.

Orang ramai mungkin perlu menyesuaikan tabiat makan dengan memasukkan lebih banyak makanan sejuk dalam makanan mereka daripada hidangan kuah pedas yang popular atau snek goreng.

Dengan kira-kira 20 kapal komersial diserang setakat ini di Selat Hormuz, laluan laut itu masih berbahaya. Iran telah memberi amaran ia akan menyerang mana-mana kapal yang berkaitan AS atau Israel namun tidak menutupnya untuk penghantaran.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan