BERITA TERGEMPAR   Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | 
 AM

PETRA KOMITED PERKUKUH LANGKAH MITIGASI BANJIR DI SARAWAK

13/03/2026 03:36 PM

KUCHING, 13 Mac (Bernama) -- Sebanyak 15 projek tebatan banjir di Sarawak sedang dilaksanakan dengan jumlah kos keseluruhan RM3.39 bilion.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan projek yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu termasuk di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Daripada jumlah itu (15 projek), lima projek berada pada peringkat pra-pelaksanaan, tiga projek sedang dalam pelaksanaan, manakala tujuh projek telah siap sepenuhnya,” menurut PETRA menerusi kenyataan hari ini.

PETRA memaklumkan di bawah RMK12 juga, sebanyak 453 kerja pemuliharaan sungai berjaya disiapkan dengan kos RM50.9 juta.

“Kerja-kerja ini melibatkan usaha meningkatkan kapasiti aliran sungai serta menstabilkan tebing bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan berkaitan.

“Selain itu, sebanyak 548 projek kecemasan luar jangka turut dilaksanakan dengan kos RM45.3 juta bagi menangani isu kerosakan infrastruktur sungai serta mengurangkan risiko banjir secara segera di kawasan yang terjejas,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, PETRA memaklumkan kejadian banjir yang dilaporkan pada 10 Mac lepas di beberapa bahagian di Sarawak meliputi kawasan Kuching dan Lundu susulan hujan lebat signifikan.

“Ia melibatkan beberapa lokasi dikenal pasti termasuk kawasan hotspot banjir iaitu Kampung Sebat Melayu, Kampung Segong dan Kampung Sileng Melayu,” menurut PETRA.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan