KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang dari kediamannya di Taman Sepakat, Kajang, Selangor sejak Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan kehilangan Nur Dinie Sani Hasrul Sani, 25, pada 12.16 tengah hari 9 Mac, dengan kali terakhir dilihat di Apartment Sri Cempaka.
“Wanita itu berketinggian 155 sentimeter dengan berat 49 kilogram, berbadan kurus serta memakai tudung, blazer dan seluar panjang hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerusi talian 03-89114222 atau penolong pegawai penyiasat Sarjan Khairul Azwan Yunus 013-448997 atau hadir di balai polis berdekatan.
-- BERNAMA
