AM

KEKALKAN SEMANGAT BANGSA JOHOR, KUATKAN PERPADUAN - ONN HAFIZ

13/03/2026 10:33 AM

Oleh Nur Fadhliana Shaari

JOHOR BAHRU, 13 Mac (Bernama) -- Rakyat Johor diminta terus mengekalkan semangat Bangsa Johor serta memperkukuh perpaduan antara satu sama lain supaya kejayaan dapat dikecapi bersama dan memastikan keharmonian serta kestabilan negeri itu terus terpelihara.

Perkara itu merupakan amanat penting yang ingin disampaikan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi kepada rakyat Johor menjelang ulang tahun keempat pentadbirannya pada 15 Mac ini.

“Untuk Johor terus maju, elemen perpaduan Bangsa Johor itu cukup penting kerana dengan perpaduan akan membina satu kekuatan,” katanya dalam temu bual dengan Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di Saujana, Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor,  baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai faktor Johor yang dilihat jarang berdepan konflik berkaitan agama dan kaum berbanding beberapa negeri lain kebelakangan ini.

Mengambil contoh perpecahan dan kacau bilau yang berlaku di negara luar, beliau berkata perkara itu hanya menyebabkan negara kehilangan kestabilan, sekali gus membantutkan peluang ekonomi dan pelaburan. 

Onn Hafiz berkata keunikan konsep Bangsa Johor yang diasaskan institusi kesultanan menjadi antara faktor utama negeri itu terus mengekalkan keharmonian kaum dan agama.

Beliau berkata konsep Bangsa Johor yang wujud sejak 1920 sentiasa menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum yang menetap dan mencari rezeki di negeri itu.

Beliau berkata pendekatan institusi kesultanan yang sentiasa menyantuni semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang turut menyumbang kepada semangat kebersamaan yang terus kekal hingga kini.

“Bagaimanapun, keharmonian tersebut tidak boleh diambil mudah dan perlu dipelihara berterusan oleh semua pihak.

“Itu antara perkara unik yang istimewa kita lalui daripada dulu lagi, tapi kita kena pelihara. Ia bukan sesuatu yang datang dengan sendiri. Ia sesuatu yang kita perlu usahakan dan kerjasama yang berterusan untuk menjaga keharmonian tersebut. Diharap kita boleh kekal macam ini,” katanya.

Konsep Bangsa Johor adalah identiti unik yang sudah lama sebati dengan Johor dan amalan masyarakatnya seawal 1920-an apabila Almarhum Sultan Ibrahim Abu Bakar memperkenal dan menggunakan istilah itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan