KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Inisiatif Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dilaksanakan untuk menarik minat golongan belia menceburi bidang pertanian.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata projek itu ialah kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri bagi membolehkan generasi muda memohon dan mengusahakan tanah pertanian.
“Sebagai contoh, di Johor terdapat sembilan TKPM, manakala di seluruh negara, jumlahnya mencecah 76 projek. Inisiatif ini membolehkan belia yang berminat menanam dan menternak, mengakses tanah dengan lebih teratur,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator K. Saraswathy di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata KPKM berkeyakinan bahawa langkah ini dapat menyokong agenda membina tenaga kerja pertanian yang berkemahiran tinggi dan usahawan tani muda, sekali gus menyumbang kepada peningkatan produktiviti sektor agromakanan negara.
Chan berkata kementerian juga membuka ruang untuk penyelarasan rentas kementerian dan agensi bagi mengenal pasti tanah berpotensi untuk pembangunan pertanian, selaras dengan usaha memperluas peluang kepada golongan muda.
Beliau turut menasihati golongan belia supaya mengikuti laman web dan media sosial jabatan pertanian negeri masing-masing kerana peluang permohonan tanah sering diumumkan secara terbuka.
Sementara itu, pada sesi soal jawab berasingan, beliau menggesa pesawah supaya melaporkan segera kepada kementerian sekiranya berlaku sebarang manipulasi dalam sistem potongan berat padi oleh pihak pengilang atau pembeli di lapangan.
Katanya, tindakan intervensi akan diambil dengan kadar segera jika terdapat pihak yang sengaja menjejaskan pendapatan pesawah melalui persaingan tidak sihat atau pemberian imbuhan kepada pihak tertentu yang membawa kesan kepada kadar potongan padi.
"Sistem potongan padi sepatutnya berasaskan rice check. Sekiranya terdapat kes spesifik, iaitu faedah atau manfaat pesawah diketepikan (akibat dinamika perniagaan tersebut), sila lapor kepada pihak kementerian," katanya.
Beliau menjawab dakwaan Senator Baharuddin Ahmad semasa soalan tambahan tentang manipulasi sistem potongan berat padi yang dikatakan tidak setimpal dengan hasil pesawah, dipercayai berpunca daripada imbuhan yang diberikan pihak pengilang kepada pemandu lori sehingga menjejaskan kadar potongan padi.
-- BERNAMA
