AM

TMM2026: MOTAC MESYUARAT ESOK TANGANI IMPAK KETEGANGAN ASIA BARAT

11/03/2026 09:31 PM

BUKIT MERTAJAM, 11 Mac (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan bermesyuarat esok bagi merangka strategi baharu untuk memastikan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 tidak terjejas susulan ketegangan yang berlaku di Asia Barat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata situasi semasa itu bakal memberi kesan terhadap aktiviti promosi pelancongan negara, terutama melibatkan pasaran dari rantau berkenaan secara tidak langsung.

“Memang akan terjejas, namun kami akan mengadakan satu mesyuarat petang esok di peringkat kementerian untuk melihat kembali dan merangka strategi baharu bagi melaksanakan (promosi) ini.

“Kami tunggu dan bincang dahulu dalam kementerian, selepas itu saya akan beritahu keputusannya,” katanya selepas menghadiri Majlis Iftar Ramadan sempena TMM2026 di Homestay Mengkuang Titi di sini hari ini.

Tiong ketika mengulas mengenai gangguan jadual penerbangan ke Asia Barat berkata pihaknya sedang memantau rapat situasi itu kerana beberapa syarikat penerbangan utama seperti Emirates dan Qatar Airways terpaksa melakukan pelarasan susulan penutupan ruang udara di kawasan konflik.

Beliau berkata mesyuarat itu juga akan meneliti strategi baharu bagi mengimbangi situasi berkenaan melalui promosi yang lain. 

Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Feb lepas susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran diikuti oleh serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di Negara-Negara Teluk.

Terdahulu, Tiong menyempurnakan Majlis Iftar Ramadan yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia sebagai antara pengisian utama dalam memperkasakan Kempen TMM2026. 

Program yang dihadiri kira-kira 2,000 orang itu bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan budaya, tradisi serta keharmonian masyarakat selain memberi peluang kepada masyarakat tempatan untuk berbuka puasa bersama-sama, sekali gus membolehkan pelancong domestik dan antarabangsa merasai pengalaman Ramadan.

Antara objektif utama penganjuran majlis itu adalah untuk memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menarik sepanjang bulan suci ini, termasuk aktiviti kunjungan ke bazar Ramadan dan penyertaan dalam aktiviti keagamaan di masjid.

Selain itu, majlis turut menonjolkan kepelbagaian gastronomi melalui hidangan tradisional seperti bubur lambuk, nasi beriani dan roti jala bagi memberikan pengalaman autentik warisan masyarakat Malaysia kepada para pelawat.

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan