AM

PELAN KHAS KURANGKAN KESESAKAN TRAFIK JOHOR BAHRU DIBENTANG SELEPAS AIDILFITRI - ONN HAFIZ

11/03/2026 04:23 PM

Oleh Hasnah Jusid 

JOHOR BAHRU, 11 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor akan mengadakan pembentangan khas mengenai kaedah dan perancangan mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar raya ini selepas sambutan  Aidilfitri.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata beliau sendiri akan membuat pembentangan bagi menjelaskan langkah jangka pendek, sederhana dan panjang kerajaan negeri, termasuk pembangunan sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat.

Beliau berkata cadangan pembangunan ART yang diperkenalkan pada 2024 itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Onn Hafiz berkata cadangan projek berkenaan juga sudah dibawa kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) dan dibincangkan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Saya berharap agar projek ini dapat diluluskan segera,” katanya dalam temu bual dengan Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di Saujana, Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor di sini baru-baru ini.

Pada Disember lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kelulusan bagi projek ART sedang dalam perbincangan dan perincian berkaitan pelaksanaannya akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. 

Tunku Mahkota Ismail sebelum ini menzahirkan kebimbangan terhadap masalah kesesakan lalu lintas yang bakal timbul apabila Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura beroperasi pada awal 2027, serta projek ART yang belum dilaksanakan.

ART yang dicadang di Johor Bahru mempunyai 32 stesen dengan jarak lebih 50 kilomer dan dijangka menelan belanja kira-kira RM7 bilion.

Tiga jajaran utama telah dikenal pasti iaitu Tebrau, Skudai dan Iskandar Puteri dengan jajaran Tebrau akan diberikan keutamaan memandangkan kira-kira 75 peratus kenderaan keluar masuk ke Johor Bahru melalui laluan tersebut.

Onn Hafiz berkata antara usaha lain sedang dipertimbangkan bagi menangani isu kesesakan adalah penambahan perkhidmatan bas serta memperluas penggunaan perkhidmatan e-hailing.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga melihat kepada pengukuhan sistem pengangkutan awam termasuk perkhidmatan komuter dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS). 

Perkhidmatan ETS Johor Bahru ke Kuala Lumpur dilancarkan bermula Disember tahun lepas, yang menyaksikan perjalanan secara terus mengambil masa kira-kira 4 jam 30 minit.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh pula sebelum ini berkata sebanyak tiga lokasi iaitu Taman Daya, Bandar Seri Alam dan Pasir Putih di sini dicadangkan sebagai tapak pembinaan stesen baharu bagi perkhidmatan komuter laluan Kempas Baru ke Pasir Gudang.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan