DUNIA

UTUSAN KHAS CHINA BAGI ISU ASIA BARAT TEMUI TPM UAE

11/03/2026 02:54 PM

ABU DHABI, 11 Mac (Bernama-CMG) -- China memberi perhatian terhadap konflik yang semakin memuncak di rantau Teluk dan menegaskan bahawa kedaulatan, keselamatan serta keutuhan wilayah setiap negara di rantau itu perlu dihormati, selain mengecam sebarang serangan terhadap orang awam dan sasaran bukan ketenteraan.

Perkara itu dinyatakan Utusan Khas Kerajaan China bagi Isu Asia Barat, Zhai Jun ketika mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan di sini pada Selasa.

Menurut Zhai, China menghargai pendekatan UAE yang disifatkannya sebagai "bertanggungjawab, bersabar dan bersikap tenang" selepas tercetusnya konflik di rantau Teluk.

Beliau berkata China bersedia meningkatkan interaksi dan penyelarasan dengan UAE serta bekerjasama bagi mendorong pihak terlibat konflik mencapai gencatan senjata secepat mungkin.

China juga berharap UAE terus mengambil langkah bagi memastikan keselamatan warga dan institusi China di negara itu.

Sementara itu, Sheikh Abdullah berkongsi perkembangan terkini di rantau Teluk serta pendirian UAE mengenai situasi berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan negara itu terhadap pendirian China yang menegakkan keadilan serta menyatakan bahawa UAE menghargai peranan China dan mengalu-alukan usaha pengantaraan yang dilakukan oleh utusan khas berkenaan.

UAE juga bersedia bekerjasama dengan China bagi meredakan ketegangan serantau serta terus memastikan keselamatan warga dan institusi China di negara itu.

Semasa lawatan ke UAE, Zhai Jun turut mengadakan pertemuan dengan Utusan Khas Presiden UAE bagi Hal Ehwal China, Khaldoon Khalifa Al Mubarak. Kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan secara mendalam mengenai usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA-CMG

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan