FOKUS BERNAMA

KERENAH BIROKRASI HALANG POTENSI BULUH DALAM PEMBINAAN

11/03/2026 02:52 PM


From Nina Muslim

 (Artikel ini adalah yang terakhir daripada laporan dua bahagian tentang potensi dan cabaran penggunaan buluh dalam pembinaan)

Jurutera struktur dan orang lama dalam industri pembinaan Ahmad Mazlan Othman masih ingat halangan demi halangan yang terpaksa dilaluinya bagi mendapatkan kelulusan untuk membina masjid buluh di Kuala Nerus, Terengganu.

“Memandangkan bangunan ini binaan awam, kami perlu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan termasuk bomba. Saya terpaksa membentangkan kertas cadangan kepada bomba Terengganu dan kemudian, sekali lagi di ibu pejabat jabatan itu,” katanya kepada Bernama melalui Google Meet.

Dalam pembentangannya, Mazlan menjelaskan masjid itu ialah bangunan berdiri sendiri, satu tingkat, berkonsep terbuka dan mempunyai laluan keluar yang mudah diakses berserta beberapa aspek keselamatan lain. Selepas beberapa ketika, kelulusan akhirnya diperoleh dan masjid itu berjaya dibina.

pic-2

Namun, kata Mazlan, proses mendapat kelulusan tidak sama bagi setiap projek. Keperluan dan prosedur berubah setiap kali permohonan dibuat. Malah, ada kalanya pihak berkuasa tempatan tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permohonan yang dihantar. Walaupun ada piawaian serta garis panduan antarabangsa tentang pembinaan menggunakan buluh, Malaysia masih belum menerima guna piawaian dan garis panduan itu.

“Saya pernah hantar pelan kepada sebuah pihak berkuasa tempatan beberapa tahun lalu. Mereka ‘peram’ pelan itu selama dua tahun tanpa sebarang tindakan. Mereka sendiri tidak tahu apa yang perlu dilakukan… akhirnya pelanggan saya berputus asa,” kata Mazlan.

Hakikatnya, buluh adalah antara bahan binaan rendah karbon yang amat diperlukan oleh industri pembinaan ketika Malaysia sedang berusaha mencapai sasaran kelestarian dan pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

Malaysia menyasarkan untuk mengurangkan pelepasan GHG menjelang 2030 serta mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050. Pakar kelestarian dan pencinta alam sekitar melihat kelewatan memanfaatkan potensi bahan mesra alam ini sebagai satu paradoks.

 

BEBAN KARBON TINGGI  

Sektor pembinaan adalah antara penyumbang utama pelepasan GHG, menerusi karbon yang terkandung dalam proses pembuatan, pengangkutan dan pemasangan bahan binaan, selain pelepasan daripada operasi bangunan termasuk kerja perobohan, kerana penggunaan tenaga yang tinggi selalunya berkait dengan pembakaran bahan api fosil semasa penghasilan keluli dan simen.

Dalam konteks ini, penggunaan buluh, iaitu produk alam yang mampu menyerap hingga lima kali ganda karbon dioksida dan menghasilkan 35 peratus lebih oksigen berbanding kayu biasa,  berpotensi membantu mengurangkan pelepasan karbon.

“Buluh menghasilkan lebih banyak oksigen berbanding tumbuhan lain dan juga menyerap lebih banyak karbon dioksida. Jadi, buluh mempunyai banyak sifat yang sangat baik,” kata Mazlan.

Menurut kajian bertajuk “A systematic review on green practices in the Malaysian construction industry: Status, challenges, key motivations, rating systems and technology evolution” oleh Rohimatu Toyibah Masyhur dan rakan penyelidik yang diterbitkan dalam jurnal saintifik Buildings and Energy pada Julai 2025, industri pembinaan Malaysia berada di kedudukan ke-30 dari segi sumbangan pelepasan karbon.

Di peringkat global, sektor pembinaan bertanggungjawab terhadap kira-kira 25 peratus pelepasan GHG dunia dan 40 peratus penggunaan tenaga. Di Malaysia pula, industri pembinaan menyumbang sekitar 24 peratus kepada pelepasan karbon, meningkat daripada 10 peratus sumbangan sektor pembuatan dan pembinaan yang dilaporkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia pada 2020.

pic-3

Selain itu, sisa pembinaan dan perobohan turut menjadi penyumbang utama kepada perubahan iklim. Kajian menunjukkan sisa tersebut menghasilkan gas metana apabila mereput, mencemarkan alam sekitar dan memenuhi tapak pelupusan walaupun lebih 75 peratus daripada sisa tersebut sebenarnya boleh digunakan semula atau dikitar semula.

Sisa pembinaan dan perobohan dianggarkan merangkumi kira-kira satu pertiga daripada jumlah sisa dunia, dengan 2.24 bilion tan sisa pepejal dihasilkan pada 2020, menurut penyelidik Jonathan Soto-Paz dan rakan-rakan dalam kajian “The circular economy in the construction and demolition waste management: A comparative analysis in emerging and developed countries” yang diterbitkan dalam Journal of Building Engineering. Para saintis menganggarkan jumlah pelepasan dan sisa ini akan meningkat lebih dua kali ganda daripada tahap 2018 menjelang 2050.

Menurut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), Malaysia menyasarkan pelepasan karbon memuncak menjelang 2030 sebelum dikurangkan sekitar 15 hingga 30 juta tan karbon dioksida (CO2) menjelang 2035.

Di bawah Komitmen Sumbangan Ditentukan Negara (NDC)  di bawah Perjanjian Paris 2015, Malaysia turut berikrar untuk mengurangkan intensiti karbon ekonominya sebanyak 45 peratus menjelang 2030 berbanding paras 2005.

Secara praktikal, jika pengeluaran barangan atau perkhidmatan bernilai RM1 juta pada 2005 menghasilkan 100 tan pelepasan karbon, tahap aktiviti ekonomi yang sama sepatutnya menghasilkan tidak lebih daripada 55 tan menjelang 2030.

Selain itu, Malaysia juga merancang untuk mengenakan cukai karbon ke atas pengeluar keluli, besi dan tenaga pada kadar jangkaan RM15 bagi setiap tan pelepasan bermula tahun ini. Ketika ini, pelaksanaan tersebut masih pada fasa pengukuran dan pelaporan, namun penganalisis menjangkakan harga komoditi berkaitan akan meningkat dan kosnya akan dipindahkan ke sepanjang rantaian bekalan.

Memanfaatkan sumber buluh yang tumbuh banyak di Malaysia berpotensi membantu mengurangkan kos tersebut di samping memberi manfaat kepada alam sekitar. Pendekatan ini juga dapat memberi faedah kepada komuniti tempatan dan masyarakat Orang Asli, merancakkan sektor pelancongan serta membantu mengekalkan kos bahan binaan pada tahap lebih rendah di kawasan pedalaman dan terpencil.

“Terutamanya di lokasi yang kos pengangkutan konkrit dan keluli sangat tinggi serta mencabar dari segi logistik,” kata Norhazaedawati Baharuddin, penyelidik kanan di Pusat Gentian dan Biokomposit, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), dalam satu kenyataan.

Namun begitu, di sebalik kelebihan buluh yang dapat tumbuh dengan pantas serta mampu menyerap karbon walaupun selepas dituai, aktivis buluh tetap berasa bimbang kerana Malaysia masih belum mempunyai piawaian kebangsaan yang mengawal penggunaan bahan itu dalam sektor pembinaan.

 

BIMBANG KEBAKARAN 

Isu utama yang mengekang penggunaan meluas buluh sebagai bahan binaan termasuk sifat mudah terbakar. Di bawah Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 yang dikemas kini dari semasa ke semasa serta Akta Perkhidmatan Bomba 1988, penggunaan buluh hanya dibenarkan bagi pembinaan struktur sementara.

Malaysia sendiri sedia maklum akan betapa dahsyatnya kebakaran apabila melibatkan buluh. Contoh terbaharu berlaku pada 2021 apabila enam chalet buluh di sebuah resort di Negeri Sembilan musnah dijilat api.

Penolong Pesuruhjaya Bomba di Bahagian Keselamatan Kebakaran Dr Zaid Abd Ghani berkata buluh tidak boleh diluluskan sebagai bahan binaan kekal di bawah peraturan sedia ada kerana sifatnya yang mudah terbakar serta ketiadaan penarafan ketahanan api.

“Buluh terbakar lebih cepat berbanding kayu,” katanya. “Dari segi fizikal dan biologi, buluh ialah bahan mudah terbakar, mudah menyala kerana merupakan bahan organik yang kering,” katanya kepada Bernama.

pic-4

Selain itu, Malaysia juga belum mempunyai kaedah yang dapat melindungi buluh daripada kebakaran. Walaupun terdapat piawaian antarabangsa berkaitan struktur, reka bentuk dan keselamatan penggunaan buluh dalam pembinaan, piawaian itu  tidak menyediakan keputusan ujian penarafan ketahanan api secara menyeluruh.

Ketika ini, satu-satunya cara bangunan buluh boleh mendapat kelulusan ialah dengan mematuhi garis panduan struktur sementara, antaranya ketinggian tidak melebihi 18 meter, tidak bersambung dengan bangunan lain serta mempunyai laluan keluar yang luas dan mudah diakses.

Buluh juga perlu dirawat supaya lebih tahan api. Namun, disebabkan variasi spesies, kandungan lembapan dan ketumpatan buluh, keputusan ujian keselamatan kebakaran bagi satu jenis buluh yang dirawat tidak semestinya terpakai pada jenis lain.

Norhazaedawati daripada MTIB memberitahu Bernama bahawa penyelidik di MTIB bersama-sama dengan syarikat serta universiti sedang merangka satu set peraturan dan piawaian buluh di peringkat kebangsaan, selain membangunkan produk buluh berkejuruteraan untuk kegunaan pembinaan.

“Dengan kejuruteraan yang sesuai serta pengesahan prestasi, sistem buluh bulat dan buluh berkejuruteraan boleh direka bentuk untuk aplikasi struktur kekal,” katanya.

Selain isu piawaian keselamatan kebakaran, buluh juga berdepan persepsi pasaran sebagai bahan binaan kos rendah dan sering dianggap berkualiti rendah.  Tidak sekadar itu, negara juga kekurangan tenaga profesional tempatan yang terlatih dalam reka bentuk struktur dan teknik pembinaan menggunakan buluh. Akibatnya, Malaysia berisiko ketinggalan berbanding negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina yang industri buluhnya berkembang pesat.

Sekalipun negara telah memperkenalkan program bagi menggalakkan penanaman buluh, masih wujud kekangan di peringkat industri hiliran dengan kebanyakan buluh hanya digunakan untuk menghasilkan perabot, hiasan dalaman dan produk makanan.

 Pakar kelestarian dan penggiat pembinaan hijau berpendapat situasi itu berpunca sebahagiannya daripada ketiadaan piawaian yang mengawal selia pembinaan menggunakan buluh. Tanpa piawaian itu, permintaan terhadap buluh kekal rendah yang seterusnya tidak menggalakkan pembangunan tenaga kerja mahir.

Firma perunding kejuruteraan mampan, IEN Consultants menyifatkan situasi itu sebagai dilema klasik “ayam dan telur”.

“Ketiadaan dasar berkaitan penggunaan buluh sebagai bahan binaan menghalang pengkomersialannya secara meluas. Tanpa piawaian dan kod bangunan rasmi yang membenarkan penggunaan buluh sebagai struktur, ramai arkitek dan jurutera akan terus keberatan untuk menggunakan bahan itu dalam projek mereka,” kata perunding di syarikat itu Alia Meor.

“Ini seterusnya mewujudkan kitaran di mana baik permintaan ataupun bekalan dapat berkembang melainkan selagi satu daripada dua pihak itu tidak memulakan langkah pertama,” katanya. 

Seiring dengan tekanan untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menggalakkan penggunaan bahan lestari, keperluan untuk membangunkan industri hiliran buluh Malaysia juga kian mendesak.

 

LANGKAH SETERUSNYA

Sebahagian besar buluh yang ditanam di bawah Projek Pembangunan Community Farming Buluh yang dilaksanakan oleh MTIB dijangka matang pada tahun ini atau tahun depan.

Namun, Mazlan bimbang industri buluh yang masih di peringkat awal itu mungkin sukar untuk terus bertahan sekiranya permintaan tidak meningkat atau tiada sokongan lebih kukuh, bagi merapatkan jurang antara hasil tuaian dengan penggubalan piawaian dasar.

Sekiranya pekebun buluh tidak dapat menjual hasil kebun, mereka mungkin tidak lagi menanam buluh atau beralih kepada alternatif yang lebih menguntungkan seperti kelapa sawit.

Yang diharapkan oleh Mazlan ialah galakan lebih meluas serta sokongan lebih kukuh terhadap penggunaan buluh dalam sektor pembinaan.

“Pembinaan ialah cara paling cepat untuk memanfaatkan buluh. Sudah tentu, buluh ialah pokok ajaib - orang dulu-dulu kata jangan tanya apa yang kamu dapat hasilkan daripada buluh, tetapi tanya apa yang kamu tidak dapat hasilkan daripada buluh. Hampir kesemua benda dapat dibuat menggunakan buluh, namun cara paling pantas ialah diterima pakai oleh negara melalui sektor pembinaan,” katanya.

 Menggalakkan penggunaan buluh dalam pembinaan, walaupun dalam batasan peraturan sedia ada, dapat membantu mengarusperdanakan bahan itu, selain menggalakkan lebih ramai profesional membangunkan kepakaran dalam teknik pembinaan berasaskan buluh.

Mazlan juga berpendapat pihak berkuasa tidak seharusnya terus menganggap buluh sebagai perkara sampingan dalam perancangan pembangunan negara.

“Saya rasa sudah tiba masanya Malaysia menubuhkan sebuah agensi khusus bagi pembangunan buluh. Jika kita benar-benar serius mahu membangunkan buluh sebagai komoditi di negara ini, kita memerlukan sebuah agensi khusus.

“Kita juga memerlukan pemahaman yang lebih baik serta sokongan daripada pihak berkuasa tempatan,” tambahnya.

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan