AM

KBS LAKSANA SEMULA PROGRAM FELO PERDANA, 63 GRADUAN DIPILIH

10/03/2026 07:24 PM

PUTRAJAYA, 10 Mac (Bernama) --  Program Felo Perdana di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kembali dilaksanakan pada Jun tahun ini selepas ditangguhkan selama dua tahun, sebagai inisiatif pembangunan kepimpinan belia berprestasi tinggi menerusi pendekatan mentor-mentee.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufik Johari berkata sebanyak 63 graduan daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta, dari dalam dan luar negara akan dipilih untuk program penempatan selama empat bulan di pejabat kepimpinan tertinggi negara, termasuk Pejabat Menteri dan Timbalan Menteri. 

“Program ini dilaksanakan bertujuan membimbing dan memperkasa bakat kepimpinan dalam kalangan belia melalui pendedahan langsung kepada kepimpinan dan tadbir urus di peringkat pembuat dasar,” katanya pada sidang media Felo Perdana 2026 di sini hari ini.

Dr Mohammed Taufik berkata pelaksanaan program itu dihentikan sementara pada 2024 dan 2025 bagi memberi ruang kepada kajian penilaian keberkesanan yang dilaksanakan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan melibatkan 185 orang responden, iaitu bekas peserta Program Felo Perdana dan Felo Korporat bagi tempoh 2020 hingga 2023. 

Beliau berkata dapatan kajian itu dijadikan sebagai asas rujukan dalam perancangan pelaksanaan Program Felo Perdana bagi tahun ini.

“Program Felo Perdana 2026 memperkenalkan pelbagai penambahbaikan yang menyeluruh bagi memastikan pelaksanaan program lebih teratur dan berkesan bagi memberi impak yang lebih signifikan, terutama dalam pembangunan kapasiti belia negara,” katanya.

Dr Mohammed Taufik berkata antara penambahbaikan utama program itu termasuk pengukuhan integriti dokumen permohonan, pemantapan struktur penempatan berfokus di bawah seliaan Menteri, Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) serta pelaksanaan Sesi Penilaian Berpusat.

Beliau berkata syarat kelayakan akademik turut ditambah baik dengan menetapkan pemohon perlu menamatkan pengajian sekurang-kurangnya di peringkat Ijazah Sarjana Muda daripada institusi pendidikan tinggi yang diiktiraf.

“Para peserta akan ditempatkan di 31 kementerian atau pejabat KSN selama empat bulan. 

“Pendekatan ini direka untuk memastikan proses bimbingan dan pementoran dijalankan secara tersusun, berimpak tinggi dan selaras dengan aspirasi membangunkan kapasiti belia sebagai pelapis kepimpinan masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata program itu memberi peluang kepada peserta terlibat secara langsung dalam sesi mentor–mentee bersama Menteri, Timbalan Menteri dan KSN, selain menyertai sesi dialog awam bersama Menteri Belia dan Sukan serta penugasan khas berkaitan proses pembuatan dasar kerajaan.

Selain itu, peserta juga berpeluang menyediakan dan membentangkan kertas polisi berfokus pembangunan belia dalam Simposium dan Majlis Apresiasi Felo Perdana bagi memperkukuh keupayaan analitikal, pemikiran strategik dan kemahiran komunikasi.

Dr Mohammed Taufik berkata sepanjang tempoh penempatan, peserta akan menerima elaun bulanan setara kadar Pegawai MySTEP Gred 9 yang ditanggung sepenuhnya oleh kementerian penempatan masing-masing.

Beliau berkata Program Felo Perdana 2026 dibuka kepada belia berumur 18 tahun sehingga sebelum mencapai umur 30 tahun, dengan permohonan boleh dibuat melalui pautan rasmi http://myfelo.kbs.gov.my/ bermula hari ini hingga 24 April 2026.

“Pemilihan peserta Program Felo Perdana tahun ini akan dilaksanakan melalui Sesi Penilaian Berpusat sebagai mekanisme saringan yang komprehensif bagi menilai kompetensi, potensi kepimpinan, keupayaan pemikiran strategik serta kesesuaian personaliti calon secara objektif dan telus.

“Majlis penyerahan dan penempatan akan dilakukan pada 24 Jun 2026 dan watikah ataupun pelantikan itu akan diserahkan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Program Felo Perdana memberi tumpuan kepada lima objektif utama, iaitu meningkatkan potensi kepimpinan belia, pendedahan kepada aspek tadbir urus kerajaan, pendedahan kepada polisi dan dasar pentadbiran kerajaan, penyediaan platform penglibatan belia dalam penggubalan dasar kerajaan dan membina rangkaian antara pemimpin dan belia negara bagi memperkukuh kerjasama serta memudahkan pertukaran idea.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan